BELGIUM 3 ESTONIA 1

Roberto Martinez sedar harapan ke atas Belgium sentiasa tinggi, secara tidak langsung berbangga membantu The Red Devils mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia 2022.


Walaupun tidak mengulangi pencapaian mereka pada 2018 sebagai pasukan Eropah pertama yang layak, mereka akan mengikuti jejak Denmark, Perancis dan Jerman ke Qatar selepas mengalahkan Estonia 3-1, awal pagi tadi.

Mereka hanya terlepas dua kemenangan sepanjang proses kelayakan sejak Martinez mengambil alih tugas itu pada 2016, justeru tidak hairanlah mengapa Belgium mempunyai banyak sebab untuk berbangga.

"Kami berada dalam situasi untuk sentiasa perlu memenangi segala-galanya,” kata Martinez kepada pemberita.

"Itulah yang dunia luar jangkakan dan ia mewujudkan tekanan tambahan. Saya sangat gembira kerana pemain kami mengendalikan perkara ini dengan baik. Mereka sentiasa memburunya.

"Setiap pemain sentiasa dalam situasi istimewa di kelab masing-masing tetapi apabila bersama pasukan kebangsaan, mereka bersatu hati. Ia satu pemikiran yang baik. Ia tidak begitu jelas seperti yang dilihat.

"Kami telah mengharungi 27 perlawanan kelayakan di bawah kendalian saya. Kami memenangi 25 daripadanya. Kami sepatutnya gembira mengenainya. Itulah sebabnya kami harus benar-benar meraikan kelayakan ini. Ini bukan sesuatu yang lazim berlaku."




Belgium akan turun dalam perlawanan terakhir kelayakan tanpa bintang utama, Romelu Lukaku, yang masih bergelut dengan kecederaan buku lali.

Sepanjang ketiadaannya, Christian Benteke, Yannick Carrasco dan Thorgan Hazard menemui sentuhan pemusnah di Brussels.

Martinez berkata penjaga gol, Thibault Coutois, mungkin tidak akan ikut ke Cardiff bagi perlawanan akhir Kumpulan E menentang Wales, Rabu depan, Belgium sebaliknya tetap berikrar untuk menurunkan barisan terbaik ketika menghadapi lawan mereka itu yang cuba menjamin tempat kedua kumpulan.

"Kami perlu cuba untuk menang di sana, memberikan satu persembahan yang adil," katanya lagi.

"Perlawanan ini akan menjadi getir memandangkan Wales mahu layak ke play-off. Oleh itu, kami akan ke sana dengan skuad paling mantap yang mungkin.

"Hanya Courtois yang mungkin terlepas ke Wales, dia tidak cergas sepenuhnya dan tidak banyak berlatih. Selebihnya, tiada kad kuning atau kecederaan, jadi yang lain akan disenaraikan."