Sungguhpun Lionel Messi belum turun untuk membintangi Paris Saint-Germain (PSG) musim ini, dia tetap dipanggil menyertai skuad Argentina untuk kempen kelayakan Piala Dunia bulan depan sambil Paulo Dybala akan membuat kepulangan yang ditunggu-tunggu.

Selepas memimpin Argentina menuju kejayaan Copa America, Messi membuat perpindahan mengejut meninggalkan Barcelona dan memilih ke Paris awal bulan ini, tetapi ikon itu masih belum membuat kemunculan bersama pasukan bimbingan Mauricio Pochettino tersebut.

Pemain berusia 34 tahun itu di samping bekas bintang Barca, Neymar, pastinya berharap akan menghadapi Reims dalam perlawanan terakhir di peringkat kelab sebelum rehat antarabangsa.

Messi, Angel Di Maria dan Leandro Paredes kemudian akan terbang ke Amerika Selatan untuk perlawanan menentang Venezuela, Brazil dan Bolivia.

Begitupun, walaupun Pochettino memberi restu untuk ketua pasukan kebangsaan itu bagi kempen antarabangsa bulan depan, ia boleh mengakibatkan trio tersebut terlepas hingga empat perlawanan PSG sepanjang bulan depan.

Argentina dan Brazil dalam 'senarai zon merah' ditetapkan Kerajaan Perancis, ini bermakna mereka perlu dikuarantin selama 10 hari sejurus kembali ke Perancis, kecuali mereka sudah mendapat vaksin penuh. Namun, tidak pasti apakah mereka mendapatkan suntikan dua dos.

PSG akan menghadapi Clermont pada hujung minggu kedua bulan depan dan menentang Lyon pula seminggu kemudian.

Tempoh kuarantin 10 hari itu bermakna Messi dan rakan sepasukannya pasti terlepas pertembungan berkenaan selain aksi pembukaan kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) yang akan berlangsung pada 15 dan 16 September depan dan perjalanan ke Metz untuk menyambung kempen Ligue 1.



Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan itu mungkin berubah dalam beberapa minggu akan datang dan PSG bukanlah satu-satunya pasukan yang khuatir dengan kuarantin wajib ke atas pemain skuad kendalian Lionel Scaloni tersebut.

Pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Emiliano Martinez dan Emiliano Buendia daripada kelab Aston Villa, sementara Cristian Romero (Tottenham) juga perlu mengasingkan diri tanpa mengira status vaksinasi mereka di bawah sekatan perjalanan semasa yang ditetapkan oleh United Kingdom.

Sementara itu, Dybala kembali membarisi pasukan negara selepas dua tahun tersisih.

Penyerang Juventus itu, yang kerap mengalami kecederaan pada musim 2020-21, turut melakar nama sebagai penjaring ketika seri 2-2 dengan Udinese semalam.

Dengan Sergio Aguero dan Mauro Icardi masih belum cergas akibat kecederaan, nama Lautaro Martinez tetap dimasukkan walaupun kelibatnya diragui, justeru kehadiran Dybala mampu mengisi jentera serangan pasukan diterajui Scaloni itu.


Senarai penuh panggilan Argentina:

Franco Armani (River Plate), Emiliano Martinez (Aston Villa), Juan Musso (Atalanta),Geronimo Rulli (Villarreal); Marcos Acuna (Sevilla), Juan Foyth (Villarreal), Lisandro Martinez (Ajax), Lucas Martinez Quarta (Fiorentina), Nahuel Molina Lucero (Udinese), Gonzalo Montiel (Sevilla), Nicolas Otamendi (Benfica), German Pezzella (Real Betis), Cristian Romero (Tottenham Hotspur), Nicolas Tagliafico (Ajax); Rodrigo De Paul (Atletico Madrid), Nicolas Dominguez (Bologna), Alejandro Gomez (Sevilla), Giovani Lo Celso (Tottenham Hotspur), Exequiel Palacios (Bayer Leverkusen), Leandro Paredes (Paris Saint-Germain), Guido Rodriguez (Real Betis); Julian Alvarez (River Plate), Emiliano Buendia (Aston Villa), Angel Correa (Atletico Madrid), Joaquin Correa (Lazio), Angel Di Maria (Paris Saint-Germain), Paulo Dybala (Juventus), Nicolas Gonzalez (Fiorentina), Lautaro Martinez (Inter), Lionel Messi (Paris Saint-Germain).