WALES 2 AUSTRIA 1

Gareth Bale menyifatkan kritikan yang dilemparkan terhadapnya sebagai pemain Real Madrid adalah sesuatu yang "menjijikkan" selepas membawa Wales ke perlawanan akhir play-off kelayakan Piala Dunia.


Bale hanya beraksi dalam lima daripada 42 perlawanan bersama Madrid musim ini dengan jumlah keseluruhan 270 minit di atas padang –- bersamaan dengan tiga perlawanan keseluruhan.

Di sebalik reputasinya pernah menjadi pemain termahal, khidmatnya tidak dipertaruhkan ketika Madrid dibelasah 0-4 oleh musuh ketat, Barcelona, hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, Bale kembali ke tahap terbaiknya sebaik menyarung jersi Wales, awal pagi tadi.

Pemain berusia 32 tahun itu mengetuai negaranya untuk kemenangan 2-1 ke atas Austria dalam pertembungan separuh akhir play-off kelayakan itu dengan menjaringkan dua gol menarik -– jaringan pertamanya menerusi sepakan percuma yang mempesonakan.

Bale, bagaimanapun, kelihatan menangggung kesakitan sambil memegang pangkal pahanya sebelum dikeluarkan.

Bekas pemain Tottenham itu kelihatan menikmati kemenangan berkenaan sebelum nadanya sedikit berubah apabila ditanya adakah dia mempunyai sebarang mesej untuk disampaikan kepada pengkritiknya di Sepanyol.




"Tidak," katanya kepada Sky Sports.

"Secara jujurnya saya tidak perlu memberikan sebarang pesanan. Ia membuang masa saya.

"Ia menjijikkan. Mereka semua patut malu dengan diri sendiri. Saya tidak ambil pusing. Cukup di situ."

Bale telah mempamerkan prestasi hebat untuk Wales dengan menjaringkan lima gol dalam empat penampilan antarabangsa terakhirnya -- satu pencapaian yang memberangsangkan selepas hanya merekodkan empat jaringan dalam 28 perlawanan sebelum ini.

Wales akan bertemu Scotland atau Ukraine di tempat sendiri untuk merebut tiket ke Qatar berbekalkan rekod belum tewas dalam 17 perlawanan.