Juara Eropah, Itali terlepas kelayakan automatik ke Piala Dunia 2022 apabila mereka terikat 0-0 dengan Ireland Utara.

Kegagalan Jorginho untuk menyempurnakan penalti ketika menentang Switzerland sebelum ini bermakna Itali berkongsi mata dengan pendahulu Kumpulan C namun berada di tempat kedua kerana perbezaan jaringan.

Dan ketika Switzerland berjaya menewaskan Bulgaria semalam, Itali dikecewakan oleh skuad kendalian Ian Baraclough di Belfast.

Bintang kejayaan Euro 2020, Federico Chiesa, hampir memecah kebuntuan pasukan Roberto Mancini apabila Itali -- yang gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 -- terpaksa berpuas hati bagi menempatkan diri ke play-off.

Lorongan Lorenzo Insigne meletakkan Giovanni Di Lorenzo dalam ruang yang baik untuk melepaskan percubaan, namun penjaga gol, Bailey Peacock-Farrell, berjaya menepisnya.

Percubaan tersebut mengatur rentak bagi Itali, yang mengawal permainan namun gagal menemui ramuan terbaik untuk menembusi gawang Ireland Utara itu.

Di sebalik skuad kendalian Mancini melepaskan setiap peluang yang dimiliki, mereka amat bernasib baik apabila Leonardo Bonucci dapat mengeluarkan percubaan Conor Washington di penghujung permainan.

The Azzurri kini berdepan dua aksi play-off Mac nanti bagi berusaha untuk layak ke kejohanan di Qatar itu nanti.