URUGUAY 0 ARGENTINA `1

Argentina terus memacu kelayakan Piala Dunia selepas melanjutkan rekod tanpa kalah mereka kepada 26 perlawanan dengan mengetepikan Uruguay 1-0, sebentar tadi.


Sentuhan pemusnah Angel Di Maria seawal minit ke-7 itu sudah cukup untuk memastikan Argentina menduduki tempat kedua zon kelayakan Amerika Selatan.

Skuad Albiceleste –- yang mengulangi pencapaian kelayakan Piala Dunia mereka dengan menempuhi lapan perlawanan tanpa kalah -– hanya perlukan satu kemenangan lagi untuk menempah tempat ke pusingan akhir di di Qatar pada tahun depan menjelang pertembungan getir dengan Brazil, Rabu depan.

Argentina kendalian Lionel Scaloni itu turut menewaskan Uruguay 3-0 dalam jendela antarabangsa bulan lalu yang menyaksikan La Celeste gagal memanfaatkan peluang terhidang dengan sebaik mungkin ketika berhitung juara Copa America berkenaan.

Badi Uruguay di Montevideo berlarutan apabila tumpul walaupun Luis Suarez kerap mengucar-ngacirkan kubu lawannya.

Dengan Lionel Messi di bangku simpanan, Di Maria memakai lilitan kapten dan ketua pasukan Argentina itu hanya memerlukan tujuh minit untuk memecah kebuntuan perlawanan.

Giovani Lo Celso merampas bola dan segera melorongkan bola kepada Di Maria yang melakukan rembatan menakjubkan ke penjuru atas jaring.

Bagaimana, Uruguay terus melancarkan asakan dan mereka berpeluang untuk memulihkan kedudukan ketika menuju rehat selepas Matias Vecino mencipta ruang buat Suarez, namun ia mudah ditangani Emiliano Martinez.

Martinez kemudian terkial-kial ketika menangani hantaran lintang Facundo Torres yang hampir-hampir melepasi penjaga gol Argentina itu sebelum dia memberikan sepakan sudut kepada seteru jiran mereka berkenaan pada minit ke-63.

Ketika Uruguay berhempas-pulas memburu gol penyamaan, ia secara tidak langsung membuka lebih banyak ruang buat Argentina mengatur serangan yang menyaksikan pelawat mencipta beberapa peluang menarik sebelum Messi diperkenalkan dari bangku simpanan di penghujung perlawanan.

Pelawat begitu hampir untuk merobek gawang Argentina tetapi malangnya tandukan Agustin Alvarez melepasi palang gol sementara Martinez hampir melakukan kesilapan apabila gagal menangkap bola dengan baik dengan membenarkan bola melalui celah kakinya, mujur penjaga gol Aston Villa itu tangkas untuk menafikannya.