Ketua jurulatih Itali, Roberto Mancini, memanggil pemain Atalanta, Matteo Pessina, dan perancang Lazio, Danilo Cataldi, selepas kehilangan khidmat dua pemain AS Roma, Lorenzo Pellegrini dan Nicolo Zaniolo, gara-gara kecederaan.

Pasukan juara Eropah itu akan bertemu Switzerland dan Ireland Utara bagi dua perlawanan terakhir pusingan kelayakan Piala Dunia, di mana mereka kini menerajui Kumpulan C dengan kelebihan jaringan dan terikat 14 mata dengan Switzerland menjelang pertemuan penting di Rome, Sabtu ini.

Mancini, yang kehilangan khidmat Marco Verratti kerana kecederaan pinggul, mengesahkan dalam sidang media semalam bahawa Pellegrini (kecederaan lutut) dan Zaniola (betis) akan kembali ke pangkuan kelab masing-masing.

"Zaniolo tidak bernasib baik kerana mengalami dua kecederaan serius. Dia masih muda dan mempunyai kualiti untuk mengatasinya," kata Mancini dalam sidang media.

"Ia akan menjadi perlawanan penting buatnya tetapi dia mengalami masalah dan kami tidak boleh mengambil sebarang risiko. Saya tidak fikir dia memerlukan nasihat saya, dia mempunyai kualiti dan boleh meningkatkan segala-galanya.

"Sudah pasti kami perlu menggantikan mereka (Pellegrini dan Zaniolo) kerana kami juga perlu menilai keadaan (Nicolo) Barella. Kami tidak memanggil Pessina kerana dia belum bersedia," katanya.

Mancini kemudian memilih untuk menyenaraikan Pessina dan Cataladi, yang menerima panggilan kebangsaan pertamanya sejak 2017 selepas mempamerkan aksi kukuh bersama Lazio musim ini.

Bekas pengurus Manchester itu memiliki berita lebih enak mengenai barisan pertahanannya, di mana Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci kelihatan sudah cukup cergas walaupun tidak diturunkan ketika Juventus menewaskan Fiorentina 1-0 hujung minggu lalu.

"Mereka berasa sihat, kami mempunyai sesi latihan hari ini. Kami akan melihat keadaan setiap orang," katanya lagi.