Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, menggesa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dan LaLiga menunjukkan solidariti dengan melepaskan pemain masing-masing untuk perlawanan antarabangsa yang akan datang.

Selepas perlawanan hujung minggu ini, liga akan berehat selama dua minggu sementara kelayakan Piala Dunia 2022 di Qatar akan mengambil alih.

Oleh kerana peraturan ketat yang mewajibkan pemain dikuarantin 10 hari sejurus kembali ke pangkuan kelab -- tidak ada pengecualian yang diberikan oleh kerajaan -- kelab-kelab EPL menolak untuk melepaskan hampir 60 pemain yang perlu melakukan perjalanan ke 26 negara yang berada dalam senarai zon merah ditetapkan United Kingdom (UK).

UK menetapkan pengunjung dari negara zon merah perlu menjalani kuarantin di hotel selama 10 hari sebaik kembali tanpa mengira status vaksinasi mereka.





Dengan perlawanan EPL akan disambung semula pada 11 September depan, ini bermakna pemain-pemain itu berdepan terlepas hingga tiga perlawanan sekiranya kelab mereka juga terlibat dalam kejohanan Eropah.

LaLiga kemudian mengikuti jejak itu dengan menolak untuk melepaskan 25 pemain daripada 13 kelab berbeza untuk saingan kelayakan yang akan berlangsung di Amerika Selatan.

Begitupun, Infantino, yang telah menulis surat kepada Perdana Menteri UK, Boris Johnson, untuk mendorong kedua-dua liga itu agar mempertimbangkan semula tindakan mereka demi "memelihara dan melindungi integriti sukan".

"Saya menyeru solidariti ditonjolkan oleh setiap anggota persatuan, liga dan kelab supaya melakukan tindakan yang tepat dan adil untuk perlawanan antarabangsa," katanya.

"Ramai pemain terbaik di dunia bersaing dalam liga di England dan Sepanyol, jadi kami percaya negara-negara ini juga mempunyai tanggungjawab untuk memelihara serta melindungi integriti kejohanan di seluruh dunia.

"Saya telah menyarankan agar pendekatan serupa seperti yang diambil oleh pemerintah UK ketika di peringkat akhir Euro 2020 (dianjurkan di Wembley) sempena perlawanan antarabangsa yang akan datang."