Ecuador layak ke Piala Dunia 2022 walaupun tewas 1-3 kepada Paraguay, sebentar tadi, apabila mengambil kesempatan ke atas kemenangan Uruguay yang turut mengesahkan tempat ke Qatar sebagai wakil zon Amerika Selatan.

La Tri, yang gagal ke temasya Russia 2018, sedar mereka hanya memerlukan satu mata untuk memastikan kedudukan empat teratas dengan baki satu perlawanan.

Bagaimanapun, Paraguay yang sudah pun tersingkir memperagakan aksi klinikal di depan gawang di Ciudad del Este itu apabila menghasilkan tiga gol terhasil sebelum sejam permainan menerusi Robert Morales, gol sendiri Piero Hincapie dan Miguel Almiron.




Ecuador tetap cuba memberikan saingan apabila mendapatkan gol sagu hati di hujung perlawanan menerusi sepakan penalti lewat Jordy Caicedo sementara Blas Riveros dibuang padang, tetapi takdir mereka ibarat sudah ditentukan berikutan keputusan tuan rumah ke atas Peru di Montevideo.

Tatkala pendahulu zon itu, Brazil, diikuti Argentina sudah pun layak, pasukan di tangga ketiga tersebut akan mengikut jejak Uruguay selepas kedua-dua pasukan memungut 25 mata, empat mata di depan Peru yang tumbang 0-1 untuk berada di tempat kelima.




Bagaimanapun, nasib Peru dalam pusingan play-off kelak di tangan mereka sendiri biarpun Colombia dan Chile masih mampu menggugat kedudukan mereka.

Paraguay sudah pasti mahu sekali lagi menjadi watak perosak kepada cita-cita Peru itu dalam perlawanan terakhir di Lima, Rabu depan.