Brazil berhasrat memanggil lapan pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk kelayakan Piala Dunia bulan depan dan bekas bintang Middlesbrough, Juninho, berharap kesepakatan akan dapat dicapai bagi mengelakkan sebarang isu membabitkan kuarantin.

Ketua jurulatih, Tite, menyenaraikan sembilan bintang EPL pada awal bulan ini tetapi tidak seorang pun yang melaporkan diri selepas kelab terkemuka Eropah sepakat menolak untuk melepaskan pemain yang perlu berkunjung ke negara-negara dalam senarai merah perjalanan yang ditetapkan United Kingdom.

Ini kerana sesiapa yang kembali dari negara-negara itu perlu dikuarantin di sebuah hotel selama 10 hari tanpa mengira status vaksin, ia merupakan situasi yang tidak dapat diterima oleh kelab.

Bagaimanapun, kesepakatan mungkin dicapai dengan pemain akan menyertai rombongan itu secara gelembung sukan sambil Juninho mendedahkan perbincangan yang melibatkan EPL, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan pegawai kerajaan Britain.






Sebagai hukuman insiden awal bulan ini itu, pemain-pemain yang tidak dibenarkan menyertai pasukan kebangsaan diwajibkan terlepas khidmat bersama kelab sebelum keputusan berkenaan ditarik balik.

Beberapa pemain EPL yang terdiri daripada Giovani Lo Celso dan Cristian Romero (Tottenham) serta Emiliano Martinez (Aston Villa) pula berkesempatan memperkuatkan Argentina.

Mereka kemudian tersepit hingga perlawanan di Sao Paulo itu dibatalkan selepas pihak kesihatan Brazil memasuki padang untuk menghentikan perlawanan di antara skuad Selecao dengan Argentina berkenaan.

Ini kerana peraturan perjalanan Brazil menuntut seseorang individu perlu dikuarantin sekiranya mereka berada di UK dalam tempoh 14 hari.

Kontinjen yang berpangkalan di UK yang terpilih pada kali ini diketuai ketua pasukan, Thiago Silva, Alisson, Ederson, Fred, Gabriel Jesus dan Roberto Firmino.

Richarlison daripada Everton tercicir ekoran kecederaan lutut, tetapi tonggak Leeds United, Raphinha, dan pemain Tottenham, Emerson Royal, berada dalam skuad.

Juninho kini memainkan peranan sebagai koordinator pasukan kebangsaan Brazil.

Mereka akan melakukan perjalanan ke Venezuela pada 7 Oktober dan Colombia, tiga hari kemudian, sebelum pertembungan di Manaus menentang Uruguay pada 14 Oktober.

Pemain akan mula berkumpul di Bogota, Colombia, pada 4 Oktober.

Brazil telah memenangi kelapan-lapan perlawanan bagi mencerahkan peluang ke Piala Dunia di Qatar tahun depan.


Senarai penuh:

Alisson (Liverpool), Ederson (Manchester City), Weverton (Palmeiras); Danilo (Juventus), Emerson Royal (Tottenham), Alex Sandro (Juventus), Guilherme Arana (Atletico Mineiro), Thiago Silva (Chelsea), Marquinhos (Paris Saint-Germain), Eder Militao (Real Madrid), Lucas Verissimo (Benfica); Casemiro (Real Madrid), Fabinho (Liverpool), Gerson (Marseille), Everton Ribeiro (Flamengo), Fred (Manchester United), Lucas Paqueta (Lyon), Edenilson (Internacional); Gabriel Jesus (Manchester City), Antony (Ajax), Raphinha (Leeds United), Gabi (Flamengo), Matheus Cunha (Atletico Madrid), Neymar (Paris Saint-Germain), Vinicius Junior (Real Madrid).