BELANDA 4 MONTENEGRO 0

Louis van Gaal memuji Belanda kerana melumpuhkan Montenegro sepenuhnya sambil berharap kemenangan 4-0 itu sebagai bekalan keyakinan mereka menjelang pertembungan getir dengan Turki.


Setelah diikat 1-1 oleh Norway dalam perlawanan pertama yang dikemudi van Gaal bagi penggal ketiga bersama pasukan kebangsaan bagi Skuad Oranje kembali menyemarakkan semangat dalam pertembungan kelayakan Piala Dunia di Philips Stadion, awal pagi tadi.

Memphis Depay membuka tirai gol perlawanan melalui sepakan penalti dan menokok gol kedua ketika sejam usia permainan untuk meletakkan Belanda menuju kemenangan ketujuh berturut-turut.

Buat julung kalinya dalam 70 penampilan, Depay menjaringkan gol berganda buat negaranya dalam satu perlawanan untuk penyerang Barcelona itu mengumpul 30 jaringan.

Ketua pasukan, Georginio Wijnaldum, menjaringkan gol ketiga sementara Cody Gakpo melengkapkan kemenangan tuan rumah ketika aksi berbaki 14 minit untuk jaringan pertamanya di peringkat antarabangsa.

Sungguhpun Montenegro mensia-siakan sejumlah peluang sepanjang pertemuan ini, namun Van Gaal tetap gembira dengan peningkatan pasukannya dalam waktu singkat sejurus menggantikan Frank de Boer.

"Kami bermula dengan sangat buruk tetapi pada akhirnya kami lebih berhati-hati berbanding ketika menentang Norway," katanya kepada NOS.

"Di Norway kami bermula dengan baik tetapi kami tidak begitu bagus sepanjang permainan. Hari ini, kami menguasai 70 minit selepas fasa pembukaan yang baik.

"Kami harus menang hari ini. Jika tidak, kami pasti akan terlepas matlamat kami. Saya rasa ia menimbulkan sedikit tekanan.

"Kami mengalahkan Montenegro sepenuhnya. Kami mempunyai sedikit masa lagi dan masih perlu saling menyesuaikan diri dengan lebih baik lagi.

"Tetapi jika anda dapat mengalahkan pasukan yang gemar bertahan seperti itu dengan 4-0, ia menawarkan dorongan untuk kami menghadapi perlawanan berikutnya."






Mereka akan berhitung dengan pendahulu Kumpulan G, Turki, di Amsterdam Rabu depan.

Belanda tewas 2-4 dalam pertemuan pertama Mac lalu itu sambil ketinggalan satu mata dengan Turki tatkala kempen kelayakan berbaki lima perlawanan sambil diekori rapat Norway.

Didorong oleh corak persembahan dan serangan yang mempesona ketika bertemu Montenegro, Wijnaldum sudah menantikan perlawanan Turki.

"Mudah-mudahan kami dapat memberi satu tamparan hebat kepada Turki, salah satu pesaing utama kami," katanya kepada NOS.

"Ini adalah satu prestasi penting selepas tersingkir dalam Kejohanan Euro dan seri dengan Norway. Kami kecewa dengan keputusan menentang Norway.

"Sukar untuk menjelaskan mengapa kami bermula agak perlahan hari ini. Pihak lawan mendapat beberapa peluang ekoran kesilapan kami sendiri. Ia tidak seharusnya berlaku dan pasukan lain mungkin boleh menjadikan keputusan 1-1 atau 1-2."