Gareth Bale menegaskan dirinya cergas untuk mewakili Wales dalam separuh akhir play-off kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Austria, awal pagi esok, biarpun jarang beraksi bersama Real Madrid.

Pemain berusia 32 tahun itu bukan sebahagian daripada skuad Madrid ketika tumbang 0-4 kepada musuh ketat, Barcelona, ​​kerana kononnya masih tersisih akibat kecederaan.

Bale hanya beraksi lima kali daripada 42 perlawanan Madrid musim ini dengan jumlah keseluruhan 270 minit di atas padang -– bersamaan tiga perlawanan.

Walaupun berdepan kegagalan berulang kali, bekas bintang Tottenham itu telah beraksi selama 233 minit buat Wales dalam empat perlawanan terakhir termasuk membantu mengekalkan impian kelayakan pasukannya.

Sehubungan itu, Bale menegaskan dia masih mampu menghadapi Austria dengan pemenangnya akan menentang sama ada Scotland atau Republik Czech dalam perlawanan akhir yang akan dijadualkan semula Jun depan.

"Jelas sekali ia adalah sesuatu yang biasa apabila dibelenggu beberapa kecederaan berterusan," katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan.

"Saya sudah kembali cergas. Saya telah berlatih selama dua bulan setengah ini. Lebih kurang tiga minggu lalu saya mendapat beberapa minit permainan. Jadi sekarang saya berada dalam keadaan yang sangat baik.

"Saya jelas berada dalam keadaan yang jauh lebih baik berbanding kem terakhir selepas berehat kira-kira tiga bulan. Saya giat menjalani latihan sejak beberapa hari lalu.

"Saya bersedia berbakti dan kami akan curahkan segala yang terdaya."





Ancelotti mendedahkan ketiadaan Bale kebelakangan ini adalah kerana masalah kecederaan, namun laporan di Sepanyol mencadangkan penyerang itu memberi alasan sakit belakang kerana mahu mengelak perbalahan.

Diminta menjelaskan mengapa dia bukan sebahagian daripada skuad ketika menentang Barcelona, ​​Bale berkata: "Saya tidak perlu berbuat demikian. Saya tidak perlu memberitahu sesiapa apa yang sebenarnya berlaku.

"Saya tidak perlu membiarkan diri dianiaya. Semuanya baik-baik sahaja sekarang, saya tidak mempunyai sebarang masalah."

Bale mencapai penampilan ke-100 buat Wales dalam kemenangan ke atas Belarus November lalu untuk mencapai 36 gol dan 23 bantuan jaringan.