AUSTRALIA 3 CHINA 0

Australia merekodkan sembilan kemenangan berturut-turut dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 apabila menewaskan China 3-0 di Stadium Abtarabangsa Khalifa, Doha awal pagi tadi.

Pasukan Socceroos itu menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan dalam pusingan kedua sebelum ini dan memulakan aksi pusingan ketiga dengan kemenangan hasil jaringan Awer Mabil, Martin Boyle dan pemain gantian, Mitchell Duke.

China memenangi empat perlawanan terakhir pusingan kelayakan itu dan menyekat habis-habisan lawan mereka sepanjang suku jam pertama perlawanan di gelanggang berkecuali itu.

Bagaimanapun, penyudah akrobatik Mabil memberikan Australia gol pembukaan -- jaringan itu dibenarkan meskipun pemain sayap berkenaan kelihatan mengangkat kaki terlalu tinggi -- dan Boyle menggandakan kelebihan itu hanya berselang dua minit.

Pasukan Graham Arnold itu kemudian dinafikan sepakan penalti selepas mendakwa bola terkena tangan pemain lawan tetapi dominasi mereka berterusan menerusi gol ketiga pada minit ke-70.

Duke hanya memerlukan 59 saat selepas dimasukkan daripada bangku pemain untuk menjaringkan gol, sekali gus menjadi pemain gantian paling pantas menemui sasaran dalam pusingan kelayakan peringkat Asia sejak Tana Chanabut melakukannya dalam tempoh 36 saat buat Thailand ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Oktober 2016.