AMERIKA SYARIKAT 5 PANAMA 1

Christian Pulisic menjaringkan hatrik ketika Amerika Syarikat (AS) menewaskan Panama 5-1 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia di Florida hari ini.

Biarpun masih belum layak secara rasmi ke Qatar 2022, hanya kekalahan 0-6 kepada Costa Rica dapat menghalang pasukan bimbingan Gregg Berhalter itu ke kejohanan utama selepas gagal melakukannya empat tahun lalu.

Kemenangan 2-1 Costa Rica ke atas El Salvador dalam satu lagi perlawanan pusingan kelayakan menyaksikan AS masih belum dapat menyertai Kanada selaku pasukan yang telah layak ke kejohanan utama.

Pulisic membuka jaringan seawal minit ke-17 menerusi sepakan penalti sebelum Paul Arriola menanduk masuk gol kedua AS hasil lintangan Antonee Robinson.

Jesus Ferreira menjadikan kedudukan 3-0 sebelum setengah jam permainan dan Pulisic pula memastikan tuan rumah ke bilik persalinan dengan kelebihan 4-0 menerusi golnya dalam waktu kecederaan babak pertama.

Pulisic melengkapkan hatrinya pada minit ke-65 sebelum Anibal Godoy memperoleh gol sagu hati buat Panama pada lewat aksi.

AS kini hanya memerlukan satu mata ketika menentang Costa Rica awal pagi Khamis ini untuk memastikan tempat dalam Piala Dunia Qatar 2022.