Jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, menjadikan ketajaman penyudah Syafiq Ahmad sebagai bekalan ke Hanoi untuk perlawanan menentang Vietnam dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas penyerang itu mempamerkan aksi mempesona ketika bertemu Sri Lanka.

Syafiq menunjukkan persembahan memukau dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang pasukan ke-202 dunia itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan meledak hatrik dengan dua daripada tiga gol yang dihasilkannya menyerlahkan kelasnya yang tersendiri selain mencipta dua bantuan jaringan.

Menunjangi kemenangan besar 6-0 ke atas lawan, kelibat Syafiq kini ditagih untuk ujian sebenar bertemu Vietnam menjelang aksi ketiga Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022, Khamis ini.

"Syafiq mempamerkan peningkatan yang begitu baik dalam setiap perlawanan.

"Saya harap dia boleh kekalkan ketekalan permainannya dan yang paling penting, dia boleh mendapatkan sentuhan penyudah ketika kami amat memerlukan jaringan," kata Cheng Hoe.

Harimau Malaya turut menonjolkan peningkatan dalam aspek bertahan susulan buat pertama kalinya tidak dibolosi sejak aksi menentang Nepal, Februari lalu.

Kehadiran Aidil Zafuan Abdul Radzak memberi impak berbeza di bahagian benteng walaupun pertemuan itu bukanlah ukuran sebenar untuk mereka berdepan Vietnam.

"Saya nampak peningkatan daripada segi corak serangan.

"Kami lebih laju dan tidak tergopoh-gopoh ketika pegang bola.

"Ada juga kekurangan dalam perlawanan ini dan ia bukan satu ukuran untuk bertemu Vietnam kelak," kata pertahanan itu.

Skuad negara akan berlepas ke Hanoi esok tanpa tiga pemain, iaitu Nor Azam Azih, Shahrel Fikri Md Fauzi dan J. Partiban, yang sah digugurkan ekoran kecederaan.

Sementara itu, jurulatih Sri Lanka, Nizam Packeer Ali, mengakui tidak menjangka pasukannya kecundang dengan jumlah jaringan yang besar.

Ia susulan anak buahnya sudah membuktikan kemampuan ketika bersaing dengan pasukan yang lebih kuat sebelum ini.

Dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022, bulan lalu, mereka hanya tewas 0-1 ketika menentang Korea Utara selain tumpas 0-2 kepada Turkmenistan.

Justeru, apa yang berlaku malam tadi cukup mengejutkan pasukan itu, terutama pengendalinya.

"Kami perlu berdepan hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah pasukan yang mantap, termasuk secara fizikalnya.

"Kami bermain dengan baik, cuma gerakan kurang bagus ketika bola di kawasan lawan," katanya.