PALESTIN 0 MALAYSIA 2

Malayan Tigress mencatat kemenangan meyakinkan ketika menundukkan Palestin 2-0 dalam pertemuan kelayakan Piala Asia Wanita 2022, sebentar tadi.


Perlawanan Kumpulan H di Stadium Faisal Al Husseini itu menyaksikan skuad bimbingan Jacob Joseph tersebut mempamerkan permainan yang lebih kemas berbanding ketika tunduk dalam aksi pembukaan menentang Thailand, tiga hari lalu.




Pintu gol Malaysia yang dikawal Nurul Azurin Mazlan itu hanya sekali diuji tuan rumah sementara skuad negara seharusnya lebih awal memecah kebuntuan untuk separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Penantian Malaysia untuk menggegar gawang lawan hadir tiga minit sebelum sejam permainan apabila Andrea Lee berada di kedudukan tepat untuk menolak masuk situasi di depan gol.

Malaysia juga hampir mengukuhkan kedudukan tidak lama selepas itu tapi kali ini voli Nur Farishah Erinna Hisham dapat dikuis keluar oleh penjaga gol.

Jaringan kedua akhirnya menyusul pada minit ke-81 apabila sepakan percuma Steffi Sarge Kaur gagal didakap kemas penjaga gol.