Ketua jurulatih Bahrain, Helio Sousa, tidak menganggap skuad bimbingannya sekadar bernasib baik untuk menewaskan Malaysia dalam kelayakan Piala Asia 2023.

Kemenangan akan memberi kelebihan besar kedua-dua pasukan untuk merebut slot teratas Kumpulan E itu tetapi di sebalik penguasaan Malaysia hampir 60 minit permainan, sepakan penalti Abdulla Yusuf Helal ketika 10 minit permainan sebelum memasuki masa kecederaan menjulang kemenangan 2-1 Bahrain, sebentar tadi.

Jurulatih dari Portugal itu mengakui walaupun sudah menduga bakal berdepan keadaan hujan, kehadiran lebih 68,000 Ekor Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebaliknya memberikan cabaran berbeza pemainnya.

"Sepakan penalti (yang dihadiahkan pengadil) adalah satu kesilapan pihak lawan di dalam kotak penalti.

"Kami perlu mampu menyempurnakan sepakan penalti dalam suasana seperti ini.

"Pemain perlukan keyakinan untuk menyudahkan," katanya.




Tambahnya dalam sidang media selepas perlawanan: "Adalah satu penghargaan untuk bermain dalam suasana sebegini walaupun mereka adalah penyokong tuan rumah."

Malaysia melancarkan 11 percubaan sementara anak Sousa pula sekadar lima percubaan dan statistik itu menggambarkan Bahrain lebih cekap untuk menghidu peluang sekalipun bergelut beraksi di atas padang becak.

"Kami tidak pernah main di padang seperti ini selama bertahun-tahun lamanya jadi ia membakar semangat juang dan komitmen anak buah saya.

"Penyokong dan suasana di sini juga menakjubkan.

"Ranking Malaysia tidak mencerminkan kualiti pasukan dan pemain Malaysia.

"Kami sedar kami akan berdepan tugas sukar.

"Adalah normal hujan di sini jadi kami melakukan persediaan ini di Taiwan.