Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Asia: Khuzaimi sedia beri segalanya hadapi Bahrain

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

khuzaimi-piee_1.jpg
Pertahanan tengah skuad negara, Khuzaimi Piee, sedia memberikan segala-galanya seandainya terpilih untuk membarisi kesebelasan utama perlawanan menentang Bahrain dalam pusingan terakhir kelayakan Piala Asia (2023 Asian Cup qualification) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Baginya, bukannya sesuatu yang mustahil untuk menundukkan pasukan di ranking ke-89 dunia itu jika skuad negara dapat menterjemahkan segala yang telah diaturkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

Pertahanan Negeris Sembilan FC itu masih menantikan peluangnya selepas sekadar diletakkan di bangku pemain simpanan ketika skuad negara menewaskan Turkmenistan 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan E itu kelmarin.

"Bagi kami, setiap perlawanan pasti akan ada tekanan, jadi apa yang kami cuba lakukan adalah tidak memikirkan perkara itu sebagai sesuatu yang boleh menjatuhkan motivasi kami," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Kerana kita tahu bahawa tiada apa yang mustahil, jadi dengan apa yang kami boleh lakukan, kami akan memberikan yang terbaik sepanjang perlawanan itu.

"Saya memang ada keinginan yang tinggi untuk bermain tetapi siapa sahaja yang terpilih boleh memberikan 100 peratus.

"Perlawanan menentang Bahrain nanti, tidak kira siapa yang akan terpilih untuk bermain malam esok, kami semua akan memberikan yang terbaik," katanya.

Advertisement

Must Watch Video