MALAYSIA 4 BANGLADESH 1

Malaysia menamatkan penantian sejak 1980 untuk memenangi tiket pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit apabila mengalahkan Bangladesh 4-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.


Skuad kendalian Kim Pan-gon itu muncul dalam kalangan lima naib juara kumpulan terbaik untuk mengesahkan kelayakan bagi mengiringi juara Kumpulan E, Bahrain, yang menundukkan Turkmenistan 1-0.

Harimau Malaya turun dengan beberapa tonggak berbeza berbanding kekalahan kepada Bahrain, Sabtu lalu, yang menyaksikan tempat penjaga gol yang dikritik hebat, Farizal Marlias, direhatkan untuk memberi laluan kepada Syihan Hazmi Mohamed sementara peranan ketua pasukan dimainkan Syafiq Ahmad.

Hajat besar skuad kebangsaan terpancar sejak awal permainan lagi apabila sepakan leret Syafiq terkena tiang gol selain penjaga gol Bangladesh, Anisur Rahman Zico, tangkas menyelamatkan dua percubaan menarik tuan rumah.

Namun, Matthew Davies memberikan kelegaan buat kem Malaysia apabila memenangi sepakan penalti yang kemudian ditugaskan kepada Safawi Rasid untuk membuka tirai jaringan perlawanan pada minit ke-16.

Ketika rancak mengatur gerakan ke arah kubu lawan, gawang Malaysia sebaliknya dirobek apabila tindakan Mohammad Ibrahim menyerbu satu situasi lontaran ke dalam dengan kepalanya membuahkan hasil pada minit ke-31.




Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, Malaysia bingkas mendahului semula dengan rembatan Dion Cools pada minit ke-38.

Skuad kebangsaan meneruskan keamatan permainan sebaik keluar dari bilik persalinan dan hanya mengambil masa dua minit untuk Syafiq pula menjadikan kedudukan 3-1.

Dan percaturan Pan-gon memasukkan beberapa pemain di bahagian serangan turut memberi pulangan berbaloi apabila giliran Darren Lok pula mengukir nama selaku penjaring untuk mengukuhkan kedudukan.

Kali terakhir Malaysia beraksi dalam Piala Asia adalah ketika bertindak sebagai tuan rumah pada 2007 sebelum barisan asuhan ketua jurulatih dari Korea Selatan itu mengulangi kemaraan merit dalam edisi 1980 di Kuwait.