Bekas jurulatih B-23 negara, B. Sathiananthan, bersetuju dengan pendekatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memberi keutamaan kepada barisan lebih muda untuk membawa misi negara dalam kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia.

Ia sebagai langkah awal badan induk itu bagi persediaan menghadapi kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.

Kelayakan Piala Dunia B-23 itu menyaksikan Malaysia akan membuka kempen bertemu Laos pada 25 Oktober diikuti tuan rumah, dua hari kemudian sebelum melengkapkan kempen Kumpulan J menentang Thailand (31 Oktober).

Ia bakal menjadi medan buat pemain muda negara menyerlahkan bakat selepas dihampakan dengan pembatalan Kejohanan AFC B-19 akibat kekangan COVID-19 dengan 11 juara kumpulan akan disertai empat pasukan tempat kedua terbaik kumpulan termasuk tuan rumah, Uzbekistan, sebagai 16 pasukan yang layak ke Piala Asia B-23 pada tahun depan.

"(Persiapan rapi) memang penting kerana pasukan-pasukan lain seperti Thailand sedang mencari jurulatihnya dari Jepun yang telah hilang, Vietnam pula sudah bersedia.

"Inilah pelapis untuk pasukan kebangsaan. Saya tahu FAM serius untuk membuat persiapan.

"Ramai pemain berbakat dalam lingkungan B-21 yang di bawah bimbingan Brad Maloney.

"Saya harap pemain ini boleh dikumpul dengan segera dan FAM mempunyai perancangan rapi untuk menghadapi kejohanan ini," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.





Malaysia hanya sekali layak ke pusingan akhir iaitu pada 2018 di China dengan kejayaan mara hingga suku akhir sebelum disekat Korea Selatan.

Begitupun, dia berharap pasukan yang dibentuk Maloney itu tidak terlalu bergantung dengan kehadiran penyerang KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin, berikutan kejohanan kelayakan ini bukan di bawah kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Kita nampak kebelakangan ini mereka makin berjaya di rantau Asia Tenggara, jadi seharusnya kita punya harapan tinggi terhadap mereka.

"Luqman Hakim mungkin tidak dilepaskan oleh kelabnya di Belgium kerana (penganjuran kejohanan ini) di luar kalendar FIFA.

"Terpulang kepada kelabnya tapi kita jangan (asyik) harapkan Luqman Hakim sahaja, perlu sandarkan kepada pemain-pemain lain juga," katanya.