Manuel Locatelli percaya namanya tercicir dalam skuad berwajah baru Itali berpunca daripada merit teknikal sambil pemain tengah Juventus itu berazam untuk dipanggil semula.

Locatelli diketepikan daripada skuad Azzurri di bawah bimbingan Roberto Mancini itu bagi mengharungi kelayakan Euro 2024 bertemu England dan Malta minggu ini.

Dia merupakan antara tonggak yang membantu Itali mengecewakan England dalam perlawanan akhir Euro 2020 dan pemain berusia 25 tahun itu bakal terlepas peluang untuk membuat perhitungan ulangan dengan The Three Lions.

Malah, dia turut hampa apabila tidak menerima sebarang makluman daripada ketua jurulatih pasukan kebangsaan.

“Saya sedih kerana tidak dipanggil menyertai pasukan kebangsaan,” katanya kepada Rai Sport.



"Biar saya terus terang. Saya tidak mendapat sebarang perkhabaran pun daripada Mancini."

Locatelli terlepas dua perlawanan terakhir membabitkan Itali pada September dan Oktober tahun lalu akibat kecederaan sebelum mempunyai alasan peribadi untuk tidak melaporkan diri dalam kem berikutnya.

Ditanya sama ada dia berasakan penggugurannya itu adalah satu bentuk hukuman, pemain tengah tersebut sebaliknya menolak cadangan berkenaan dan kepercayaan ia berpunca daripada pilihan taktikal Mancini.

"Adakah disebabkan disiplin? Sama sekali tidak," tambahnya.

"Saya fikir ia adalah pilihan teknikal. Saya akan bekerja lebih keras di atas padang untuk kembali ke sana."

Itali akan melayani kunjungan England di Naples Jumaat ini sebelum bertandang ke Malta tiga hari kemudian.