IRELAND UTARA 0 JERMAN 2

Michael O'Neill memuji barisan pemainnya atas usaha keras mereka ketika menentang Jerman sambil menyifatkan kekalahan 0-2 Ireland Utara itu sebagai peluang yang terbuang.


Pasukan bimbingan Joachim Low itu kini menyamai Ireland Utara untuk mengumpul 12 mata dalam Kumpulan C, kelayakan Euro 2020 hasil dua gol dalam babak kedua daripada Marcel Halstenberg dan Serge Gnabry, awal pagi tadi.

Tuan rumah terlepas peluang menarik menerusi Conor Washington dalam pertembungan di Windsor Park itu sebelum rembatan Halstenberg, tiga minit memasuki babak kedua memecahkan kebuntuan perlawanan sebelum Gnabry mengukuhkan kedudukan pada masa kecederaan.

O'Neill tidak dapat menyalahkan semangat pemainnya tetapi kecewa kerana mereka gagal memanfaatkan peluang yang terhidang.

"Mereka telah mencurahkan segala yang ada," katanya kepada Sky Sports.

"Persembahan kami dalam babak pertama cukup memberangsangkan dan kami sepatutnya berada di depan. Apabila kami memikirkan tentang (faktor) perlawanan ini, ia adalah mengenai peluang yang gagal disudahkan.

"Kami telah dihukum pada awal babak kedua. Barangkali Jerman meningkatkan permainan mereka dan ia satu jaringan yang menakjubkan daripada pertahanan mereka. Untuk bersikap adil kepada pemain saya, mereka kembali mengatur permainan dengan mencipta beberapa peluang lagi tetapi sukar menembusi gawang lawan.

"Kami berjaya mengekang lawan dengan mengatur permainaan dan meraih kepuasan dengan memberi tekanan kepada mereka selain memenangi bola yang lebih tinggi di padang. Sukar untuk melakukannya ke atas lawan handalan seperti mereka. Ketika rehat, saya fikir mereka telah merancangnya di bilik persalinan dan mereka memiliki pemain yang bijak.

"Ia satu batu loncatan yang besar buat ramai pemain saya untuk beraksi seperti ini di peringkat ini. Saya bangga dengan apa yang mereka berikan. Kami perlu mempamerkan tahap prestasi yang serupa ketika menentang Belanda dan Jerman. Jika kami berpeluang untuk terus maju, kami perlu memanfaatkannya."

Ireland Utara akan menghadapi Belanda di Rotterdam dalam perlawanan kelima mereka pada 11 Oktober depan.