Kelab bawahan liga Inggeris, Ashton United, cuba meminjam Erling Haaland tetapi Manchester City mahu memberinya ruang sendiri ketika kempen Piala Dunia berlangsung.

Sepak mula kejohanan berprestij dunia di Qatar itu membuka ruang rehat buat Liga Perdana Inggeris (EPL) sementara Haaland tidak akan menyertai Piala Dunia selepas Norway gagal layak, dan kelab divisyen ketujuh berkenaan membuat tawaran berani menagih khidmatnya.


“Ia masuk akal,” kata Michael Clegg kepada laman sesawang pasukan Divisyen Perdana Liga Perdana Utara itu.

"City tidak beraksi dan kami mahu bantu dalam memastikan Erling cergas. Ia lebih masuk akal berbanding dia bermain golf selama enam minggu.

"Kami fikir dia akan menjadi sangat sesuai buat kami dan akan menyertai dinamik skuad kami dengan sangat baik."

Penyerang Norway itu telah menyumbat 18 gol EPL musim ini sejak meninggalkan Borussia Dortmund dengan lima jaringan diledak dalam kempen piala yang membawa kepada 23 gol.