Pengurus England, Gareth Southgate, menganggap kegagalan Itali untuk layak ke Piala Dunia 2022 telah membuktikan betapa bagus anak buahnya beraksi sejak kekalahan mereka dalam final Euro 2020.

Skuad Azzurri itu dikejutkan Macedonia Utara 0-1 menerusi gol masa kecederaan Aleksandar Trajkovski dalam separuh akhir play-off kelayakan di Palermo, semalam, untuk terlepas temasya kedua berturut-turut.

Southgate menderita di tangan Itali tahun lalu apabila The Three Lionsnya ditewaskan menerusi penentuan sepakan penalti di Wembley, tetapi tatkala barisan bimbingan Roberto Mancini itu gagal menempah tiket ke Qatar, November depan, England pula mengatasi segala ranjau apabila memenangi lima perlawanan dan seri dua kali di peringkat kelayakan Piala Dunia.

Bercakap kepada sidang media menjelang perlawanan persahabatan menentang Switzerland tengah malam ini, Southgate berkata: "Ia adalah satu kejutan besar (Itali kalah). Jelas sekali kadangkala pasukan mempunyai kitarannya yang tersendiri. Ia boleh tercetus akibat kitaran masa, kesan selepas memenangi Euro 2020 dan emosinya.

"Saya fikir di situlah pemain kami melakukannya dengan baik, iaitu pulih daripada emosi perlawanan akhir dan untuk beraksi seperti yang mereka lakukan sepanjang musim luruh lalu adalah benar-benar hebat.

"Saya fikir peringkat kelayakan ini dipandang rendah, saya mengesyaki Itali berdasarkan keputusan dan persembahan mereka. Cara mereka beraksi, Itali berada di kedudukan itu."