Tonggak pertahanan Kedah, Shakir Hamzah, cuba berselindung daripada tekanan dengan mengakui tidak gusar dengan ketiadaan Renan Alves menjelang final Piala FA menentang Perak, malam esok.

Skuad Lang Merah menerima tamparan hebat menjelang pertemuan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu apabila khidmat Alves terpaksa diketepikan ekoran digantung satu perlawanan.

Ketiadaan pertahanan dari Brazil itu merencatkan percaturan pengendali, Aidil Sharin Sahak, dan menyaksikan Shakir terpaksa menggalas tugas berat.

Walaupun bakal melakukan kerja tambahan di benteng akhir bertemu Perak, pemain kebangsaan Singapura itu tetap positif dengan ranjau yang menanti.

"Semua orang nak menang dalam final. Tanpa dia, semua orang tetap bermain sama. Saya tiada masalah besar sama ada dia beraksi atau tidak. Jika dia ada, memang membantu," katanya.

Pemain berusia 26 tahun itu dijangka membentuk gandingan baru di bahagian pertahanan setelah pengganti utama kepada Alves, iaitu Khairul Helmi Johari, masih dibelenggu kecederaan tatkala Syawal Nordin pula berdepan masalah kecergasan.

Situasi itu memaksa Aidil Sharin mempertaruhkan pemain seperti Syazwan Tajudin atau Loqman Hakim Marzuki bagi mengekang ketajaman barisan depan The Bos Gaurus yang diketuai Ronaldo Henrique Silva.

"Apabila Renan, penggantinya bermain dengan baik, saya tiada masalah. Kami tidak boleh tentukan keputusan. Siapa yang kuat pada hari perlawanan, dia akan menang. Aksi ini tetap sama tanpa Renan," tambah Shakir.