Kedah Darul Aman menjamin laluan ke Piala AFC buat tahun ketiga berturut-turut selepas menumbangkan Melaka United 4-1 untuk muncul naib juara Liga Super 2021 di Alor Setar, sebentar tadi.

Tatkala Johor Darul Ta'zim (JDT) mengecapi rentetan kejayaan Liga Super kelapan dengan kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur, tiket ke pentas Asia seakan terbentang buat Kedah sejak awal babak pertama lagi apabila anak buah Aidil Sharil Sahak itu mendahului 2-0 menerusi dua jaringan Tchetche Kipre.

Hujan yang semakin lebat dalam separuh masa kedua di Stadium Darul Aman itu menyaksikan penyerang Melaka United dari Brazil, Adriano Narcizo, pada minit ke-59 merapati kedudukan 1-2.

Ia sebaliknya membakar semangat juang tuan rumah menerusi ledakan pantas ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar, dan Fayadh Zulkifli berselang tiga minit.





Sementara itu, pertembungan di Stadium Bandaraya di antara Penang dan Terengganu berlangsung sengit apabila berkesudahan 2-2 biarpun Harimau Kumbang terpaksa mengharungi lebih 80 minit dengan 10 pemain.

Larian deras penyerang import Sang Penyu, David Da Silva, mengundang terjahan Latif Suhaimi untuk meninggalkan pengadil, Zulkarnain Zakaria, tiada pilihan dengan melayangkan kad merah kepada pertahanan itu pada minit ke-13.

Pertahanan Terengganu, Argzim Redzovic, menjadikan situasi lebih sukar buat lawan dengan menghasilkan gol pada minit ke-25.

Kepincangan itu sedikit pun tidak memudarkan hasrat Penang untuk memburu kemenangan dengan mendahului 2-1 sebelum mengakhiri 45 minit pertama perlawanan melalui sentuhan pemusnah Sheriddin Boboev dan Casagrande.

Walaupun Nafuzi Zain membuat tiga pertukaran serentak bagi menambah sengat seawal babak kedua, namun gol yang dinantikan hanya berkunjung apabila Lee Tuck menyepak masuk jaringan pada minit ke-81.

Gangguan kekasaran akhirnya menamatkan permainan itu untuk Kedah memiliki kelebihan dua mata di depan Penang disusuli Terengganu.

Kedudukan Selangor pula tidak tergugat meskipun kalah 1-2 kepada seteru kota, Petaling Jaya (PJ) FC sambil Ifedayo Olesegun muncul pemenang Kasut Emas dengan mencetak 26 jaringan melalui satu golnya di Kelana Jaya.

Perak menyambung kempen musim ini dalam Piala Malaysia selepas menamatkan rekod rentetan tujuh kekalahan dengan membenam Sabah 2-1, sekali gus menafikan kemaraan pasukan tercorot, UiTM, yang meraih tiga mata ke atas Sabah dengan 1-0.