Ketiadaan ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Ott, yang tidak dapat disenaraikan dalam perlawanan keempat Liga Super 2023 menentang Kelantan United membuka ruang kepada pemain lain untuk membuktikan keupayaan membantu pasukan.

Pengendalinya, Nafuzi Zain, mengakui ketiadaan Ott yang dilayangkan kad merah ketika menentang PDRM FC memberikan kesan kepada jentera tengah namun situasi tersebut adalah perkara biasa di dalam sukan bola sepak.

"Memang kami terasa kehilangan Ott kerana dia merupakan pemain yang berperanan di bahagian tengah pasukan selain menggerakkan jentera tengah.



"Namun, perkara ini sudah terjadi (kad merah) dan kami terpaksa menerima keadaan ini dengan melakukan penggantian pemain agar dapat mengimbangi keadaan itu," katanya ketika diminta mengulas sempena aksi bertemu Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, malam esok.





Mengulas lanjut, penggantian pemain yang dilakukan sebaik mungkin agar taktikal yang mahu dibawa dapat digerakkan oleh pasukan itu sebaik mungkin.

Menurut Nafuzi, Kijang Hijau yang kini berada di dasar liga pastinya mahu memburu tiga mata di laman sendiri selepas mencatat dua kekalahan dan satu seri selepas tiga perlawanan.

"Bagi saya sama ada kami beraksi di tempat lawan atau berada di laman sendiri atau dengan siapa pun kami berjumpa, lebih penting adalah persiapan sendiri untuk menghadapi sesuatu perlawanan itu dengan cara kami serta taktikal yang kami persiapkan.

"Kami mendapat banyak pengajaran daripada perlawanan yang dilalui setakat ini dan jika kami dapat bermain dengan baik, kami tetap akan rasa puas hati," ujarnya.

Kredit: Sinar Harian