Kecergasan dan stamina pemain menjadi tumpuan utama ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz, dalam fasa awal persiapan pramusim Liga Malaysia 2023.

Azzmi yang buat julung kali membimbing pasukan Liga Super mengakui gembira dengan komitmen yang ditunjukkan anak buahnya sepanjang tiga aksi pemanas badan berlangsung.

Pengendali berusia 47 tahun itu turut berharap gabungan enam pemain import dan tempatan mampu untuk menghadirkan cabaran buat pasukan gergasi Liga Super yang lain.

'The Cops' dijadualkan membuka tirai kempen Liga Super 2023 berdepan Sabah FC di Likas pada 25 Februari ini.

"Kami telah menjalani tiga minggu fasa pramusim dan menjadikan tahap kecergasan pemain menjadi keutamaan," kata Azzmi.

"Kami berpuas hati cara permainan pasukan buat masa ini. Kami akan menjalankan corak permainan yang bersesuaian dengan barisan pemain yang dimiliki."
Sementara itu, tonggak import baru PDRM, James Okwuosa, mengakui berdepan cabaran dengan faktor cuaca yang tidak menentu sebaik sahaja tiba di Malaysia bulan lalu.

Pertahanan tinggi lampai kelahiran Nigeria itu turut melihat pentas Liga Malaysia lebih terarah kepada persaingan fizikal serta kepantasan di antara pemain.

James yang sebelum ini beraksi di liga utama Kuwait bersama Al-Qadsia SC dijangka bergandingan bersama kapten berpengalaman, Azmi Muslim di benteng pertahanan pasukan.