Kecederaan jangka panjang yang dialami penyerang unggul, Dominique Da Sylva, memungkinkan jodohnya bersama Kuala Lumpur City FC berakhir lebih awal.

Ini selepas pemeriksaan pihak perubatan mengesahkan kecederaan jangka panjang pemain kelahiran Mauritania itu sambil majikannya dikahabarkan memiliki pelan kecemasan untuk menandatangani penyerang bari dari Amerika Syarikat, Kyrian Nwabuaze, dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard, memilih untuk berahsia sebelum satu pengumuman rasmi dilakukan.

"Berdasarkan laporan terbaru yang saya terima petang tadi, dia memerlukan dua atau tiga minggu (untuk pulih) kerana dia mempunyai keretakan kecil di tulang metatarsalnya," kata Stanley kepada wartawan Nadi Arena, Yeoh Pek Xian.

"Saya lihat keadaannya semakin baik, dia sudah dapat berjalan dengan elok.

"Sekarang mereka (pihak perubatan) perlu melakukan beberapa ujian daripada segi kestabilan lariannya sebelum kami dapat membuat keputusan bahawa dia akan pulih sepenuhnya," katanya.