RB LEIPZIG 0 NAPOLI 2

Walaupun menang 2-0 ke atas RB Leipzig dalam perlawanan kedua pusingan 32 Liga Europa di Red Bull Arena awal pagi tadi, Napoli terpaksa melupakan hajat untuk mara selepas tewas menerusi jaringan di tempat lawan.


Skuad kendalian Maurizio Sarri itu tunduk 1-3 dalam aksi pertama di depan penyokong sendiri minggu lalu, sekali gus memberikan tekanan apabila turun beraksi dalam perlawanan timbal balik.

Bagaimanapun, Gli Azzurri tampil garang seawal minit ke-10 apabila kapten, Marek Hamsek, memperoleh peluang dari jarak dekat susulan umpanan leret dari sebelah kiri oleh Lorenzo Insigne, namun bola terlebih dahulu mengenai lutut pemain Slovakia itu.

Insigne turut hampir membuka tirai jaringan pada mnit ke-26 apabila bijak mencari ruang untuk mendapatkan bola lorongan Dries Mertens tetapi penjaga garisan telah mengangkat bendera menandakan dia berada dalam posisi ofsaid tatkala hanya berdepan penjaga gol, Peter Gulacsi.

Gol yang dicari-cari pelawat akhirnya muncul tujuh minit kemudian apabila pemain sayap kanan, Piotr Zielinski, melakukan tindakan susulan setelah percubaan awal Insigne diselamatkan Gulacsi untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Zielinski hampir menambah gol kedua peribadi pada minit ke-54 menerusi satu sepakan bebas dari luar kotak penalti. Bagaimanapun, percubaan pemain berusia 23 tahun itu tepat ke dakapan Gulacsi.

Usaha Insigne untuk meletakkan nama dalam senarai penjaring berhasil pada minit ke-86 apabila dia pantas menerpa untuk menyambut bola hantaran lintang pemain gantian, Jose Maria Callejon, dan melakukan sepakan separa voli bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Biarpun menguasai hampir keseluruhan perlawanan, cubaan untuk mendapatkan gol ketiga menemui jalan buntu dan kedudukan 2-0 memberikan kemenangan buat RB Leipzig menerusi peraturan gol di tempat lawan.