Felda United melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan PKNP FC 4-1 dalam suku akhir kedua di Stadium Ahah Alam, semalam untuk meraih kemenangan 5-4 secara agregat.

Skuad bimbingan B. Sathianathan itu telah dikejutkan dalam aksi pertama apabila tunduk kepada PKNP 3-1.

Bagaimanapun, perubahan strategi yang dilakukan berjaya membantu pasukan untuk bangkit, sekaligus meraih kemenangan 4-1 di Shah Alam.

Dua gol daripada Wan Zack Haikal Wan Noor merupakan pencetus kebangkitan The Fighters pada separuh masa pertama sebelum Ifedayo Olisegun menjadikan kedudukan 3-0 sebelum tamat babak pertama.

Tonggak import Felda, Zah Rahan Krangar, meledak gol keempat untuk membawa pasukan mara ke pusingan seterusnya.

“Selepas ketinggalan di awal permainan, kami berjaya mengubah taktikal permainan dan ia telah membuahkan hasil untuk kami,” kata Sathianathan.

Gilberto Fortunato muncul penjaring tunggal gol buat PKNP, dan pengendali pasukan, Abu Bakar Fadzim, menegaskan pendekatan yang salah telah menghukum pasukannya.

“Jika kami mahu beraksi dalam separuh akhir, kami seharusnya memberikan lebih banyak tekanan kepada Felda.

"Bagaimanapun, Felda lebih cemerlang menggunakan setiap peluang untuk menyingkirkan kami,” kata Abu Bakar.

Kredit imej: Felda United FC