Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, menyifatkan keakraban barisan pemainnya telah membantu penyerang baru mereka, Bergson da Silva, untuk menyesuaikan diri.

Ia selepas skuad Harimau Selatan itu mempamerkan aksi gemilang ketika membenam cabaran UiTM FC 4-0 di Shah Alam semalam.

Da Silva, yang diperkenalkan selaku pemain baru JDT pada Rabu lalu, menjaringkan gol lewat permainan pada penampilan pertamanya, 17 minit selepas menggantikan Fernando Rodriguez.

Mora berpuas hati dengan prestasi pasukannya biarpun merombak kesebelasan utamanya berbanding dua perlawanan lalu, di mana Adam Nor Azlin, Nazmi Faiz Mansor, Safiq Rahim dan S. kunanlan antara yang disenaraikan.

"Dia (Da Silva) mempunyai sesuatu yang istimewa mengenainya. Dia seorang pemain berbakat.

"Perkara paling penting adalah dia tampil dan dapat menyesuaikan diri dengan baik bersama pemain tempatan dan staf.

"Suasana di JDT bukanlah mudah untuk anda menyesuaikan diri tetapi dia dapat melakukannya sejak hari pertama. Dia dapat bergurau dengan pemain lain dan kelihatan baik di bilik persalinan.

"Sudah pasti ia membantunya dan apabila dia turun ke padang, dia dapat melakukannya dengan amat baik.

"Ia bukanlah perlawanan yang mudah buatnya dengan padang yang basah, licin dan UiTM juga memberikan cabaran dengan amat kuat dan terjahan keras.

"Apapun, dia dapat mencari jalan dan menjaringkan gol yang cantik.

"Ia satu gol yang amat cantik dan dia dapat membantu pasukan, jadi saya fikir kita pasti dapat melihat sesuatu yang lebih baik daripadanya selepas ini," katanya.