Loris Karius percaya dia masih mempunyai masa depan di Liverpool selepas pinjamannya ke Besiktas tamat.

Karius menyertai kelab Turki itu menerusi pinjaman dua tahun pada tahun lalu selepas kali terakhir mewakili Liverpool dalam saingan kompetitif ketika final Liga Juara-Juara Eropah 2018, di mana The Reds tewas di tangan Real Madrid.

Namun, penjaga gol itu masih mempunyai kontrak bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu sehingga 2021 dan dia yakin masih memiliki masa depan di Anfield.

"Saya dipinjamkan kepada Besiktas sehingga tamat musim ini dan lihatlah nanti. Kembali ke Liverpool atau mana-mana di England atau Jerman. Anda tidak akan tahu," katanya.

"Ketika ini, fokus saya adalah beraksi dalam perlawanan setiap minggu.

"Saya menikmati waktu di sini. Sudah tentu jika anda beraksi di England, perhatian akan bertambah tetapi kelab ini bagus. Sudah tentu ada masalah biasa. Ia tidak mudah sejak tahun lalu tetapi secara keseluruhan, musim pertama agak baik.

"Liga Perdana Inggeris adalah liga terbaik dan menarik tetapi saya juga masih mempunyai kontrak bersama Liverpool, jadi mungkin saya akan kembali menyarung jersi The Reds, anda tidak tahu.

"Sukar untuk bercakap sekarang. Jika ia bukan Liverpool, mungkin ada pasukan lain. Saya pasti, jadi saya tidak risau."

Karius membuat kesilapan yang membawa kepada dua daripada tiga gol dibolosi Liverpool -- yang kini memiliki Alisson dan Adrian -- ketika menentang Madrid dalam final di Kiev, tahun lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu mengalami gegaran otak ketika final berkenaan dan dia berkata telah melupakan kekalahan itu.

"Saya tidak fikir lagi tentangnya. Ia sudah lama, hampir dua musim. Terdapat banyak kesan. Saya mengalami kecederaan teruk dan tiada siapa bercakap tentangnya. Orang ramai boleh katakan apa sahaja tetapi saya tidak kisah," tambahnya.

"Selepas dikaji, mereka menyedari tentang gegaran itu tetapi di dalam perlawanan, anda tidak akan sedar tentangnya. Ia sudah berlalu. Saya gembira mereka bergelar juara setahun selepas itu.

"Saya masih bercakap dengan jurulatih penjaga gol dan sesetengah pemain. Mereka berpeluang cerah pada tahun ini."