N'Golo Kante mengakui pemain Chelsea tidak bersedia untuk menerima berita bahawa Roman Abramovich mahu menjual kelab itu.

Semalam, hartawan dari Russia itu mengumumkan bahawa dia telah mengambil keputusan paling sukar untuk meletakkan kelab berkenaan dalam pasaran dan akan mendermakan keuntungan bersih penjualannya kepada mangsa perang di Ukraine.

Dalam satu kenyataan, dia berkata proses penjualan itu tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa sebaliknya akan mengikut proses yang sewajarnya selain tidak akan menuntut hutang kelab berkenaan.

"Perniagaan atau wang bukan satu persoalan buat saya tetapi ia mengenai semangat murni untuk sukan dan kelab ini," katanya dalam satu kenyataan.

"Ketahuilah bahawa ini adalah satu keputusan yang sangat sukar untuk dibuat dan saya berasa perit untuk berpisah dengan kelab dengan cara ini. Namun, saya percaya ini adalah demi kepentingan kelab."

Sepanjang tempoh membeli kelab yang berpangkalan di London itu sejak Ogos 2003, mereka telah memenangi 19 gelaran utama.





Keputusan Abramovich itu dibuat di tengah-tengah ancaman sekatan terhadap urusan perniagaan dan individu berprofil tinggi Russia sejak negara itu menceroboh Ukraine, minggu lalu.

Pemilik berusia 55 tahun itu pernah bergambar dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, dan walaupun minggu lalu Abramovich menegaskan dia tidak terlibat dalam politik, malam pada awal minggu ini jurucakapnya mencadangkan kepada Persatuan Akhbar bahawa pemilik tersebut sedang cuba menyelesaikan konflik kedua-dua negara berkenaan secara aman.

Kante mengakui barisan pemain terkejut mendengar berita itu -- hanya beberapa jam sebelum sepak mula kemenangan Piala FA ke atas Luton semalam.

“Kami tidak bersedia,” katanya kepada Sky Sports.

"Ia berlaku dengan pantas. Tetapi satu-satunya perkara yang boleh kami lakukan memandangkan kami tidak mengawal perkara seperti ini ialah melakukan dengan terbaik seperti yang sering kami lakukan.

"Iaitu menghasilkan permainan terbaik demi kelab dan peminat. Ini satu-satunya perkara yang kami boleh kawal dan kami mahu melakukannya."

Bercakap mengenai pencerobohan Russia ke atas Ukraine, Kante berkata: "Adalah menyedihkan melihat perkara seperti ini dan kami berharap ia dapat selesai secepat mungkin dengan cara yang terbaik."