Pemain skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, K. Kannan, menyimpan cita-cita mahu mengikut jejak langkah bekas pemain Selangor, S. Kunanlan, selain berhasrat mencipta nama di pentas antarabangsa.

Penghijrahan ramai pemain pengalaman seolah-olah memberi hikmah tersendiri buat bakat-bakat muda Selangor menyerlahkan kemampuan mereka dalam Liga Super.

Kannan menjadi salah satu nama yang kian disebut-sebut peminat setia Red Giants dan disebabkan prestasi cemerlang bersama Selangor, dia dipanggil Frank Bernhardt untuk menjalani latihan bersama skuad B-22 negara bermula kelmarin.

Selain berazam menjadi salah seorang tonggak penting dalam pasukan, Kannan berhasrat mahu mengubati kerinduan penyokong Selangor terhadap kehilangan Kunanlan.

"Saya menyaksikan video permainannya (Kunanlan) termasuk cara lariannya, tahap kecergasan dan latihan. Saya harap dapat menggantikan Kunanlan," katanya.

Menurut Kannan, tahap keyakinannya kini sudah jauh berbeza sejak berada dalam skuad utama Selangor dan beraksi dalam dua perlawanan Liga Super.

Justeru, dia berharap mampu mengkekalkan tahap konsisten dalam permainan sepanjang musim ini bagi mengetuk pintu ke skuad Sukan SEA 2017.

"Saya harap boleh dapat tempat dalam skuad Bernhardt memandangkan tahap kecergasan saya juga semakin meningkat sejak bersama Selangor," tambahnya.