Son Heung-mun mengakui Harry Kane meluangkan lebih banyak masa bersamanya berbanding isterinya, sambil bersedia untuk melebarkan rekod jaringan bersama gandingan penyerangnya itu.

Musim lalu, gandingan Tottenham itu memecahkan rekod baru dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai gandingan menjaringkan gol terbanyak (41 gol) mengatasi rekod yang sekian lama dipegang dua pemain legenda Chelsea, Frank Lampard dan Didier Drogba.

Dengan kehadiran Antonio Conte selaku pengurus dan beberapa pemain baru yang ditandatangani mereka, Spurs dijangka akan menjadi pencabar utama gelaran EPL 2022-23.

Dalam jendela perpindahan kali ini, Spurs mendatangkan dua lagi penyerang, iaitu Dejan Kulusevski dan Richarlison tetapi Son bersedia untuk terus bergandingan dengan Kane sambil pemain kebangsaan Korea Selatan itu mengakui keakrabannya dengan rakan sepasukannya itu dipacu oleh keinginan untuk berkembang bersama.

"Saya menonton temu bual Kane dan dia berkata bahawa dia meluangkan lebih banyak masa bersama saya berbanding isterinya," kata Son kepada GQ Korea.

"Ia memang benar. Saya juga meluangkan lebih banyak masa bersama Kane di atas padang berbanding orang tua saya di rumah.

"Kami amat rapat. Kami memahami sesama sendiri dengan amat baik dan kami juga mengenali sesama kami sewaktu di atas padang. Kane dan saya tahu bagaimana diri kami. Ia amat istimewa.

"Kami sudah menjaringkan 41 gol bersama. Apa persamaan saya dan Kane adalah kami berdua amat mendahagakan dan sentiasa memiliki keinginan yang tinggi untuk meningkat. Walaupun di luar bola sepak, kami masih mempunyai penetapan minda yang sama.

"Saya mahu meneruskan rekod itu memadangkan saya ada rakan sepasukan sepertinya, walaupun menyedari rekod kami akan turut dipecahkan satu hari nanti," katanya.

Tottenham akan memulakan kempen baru EPL dengan melayani kunjungan Southampton pada 6 Ogos ini.