Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Juan Torres Garrido, berkata pasukannya sudah bersedia untuk menghadapi Uzbekistan dalam aksi pembukaan Kumpulan D, Piala Asia B-23 di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar malam esok.

Sedar kekuatan dan reputasi besar lawan itu, pengendali negara itu tetap tenang dan percaya dengan kemampuan Harimau Muda untuk membuktikan keupayaan dalam perlawanan itu.

"Persiapan kami baik setakat ini," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Selain daripada waktu singkat kami bersama sebagai satu pasukan, kondisi pasukan seminggu sebelum kami tiba dan selepas kami tiba di sini amat baik, jadi kami menjangkakan sudah bersedia untuk menghadapi pasukan yang baik seperti Uzbekistan.

"Dan kita perlu sentiasa menyedari realiti dan kami menerima undian ini berdasarkan cara kami layak ke kejohanan ini.

"Ia adil untuk kami layak seperti ini dan kami perlu menunjukkan bahawa jika kami melalui pusingan kelayakan lain, kami perlu meraihnya," katanya.