ARSENAL 4 FULHAM 1

Pengurus Arsenal, Unai Emery, lega dengan kemenangan 4-1 pasukannya ke atas Fulham walaupun berdepan beberapa detik menggusarkan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, malam tadi.


The Gunners bangkit selepas diaibkan Liverpool dengan kekalahan 1-5, Sabtu lalu.

Kemenangan di laman sendiri itu merapatkan jurang mata mereka dengan pasukan di tangga keempat, Chelsea, dengan mereka kini hanya ketinggalan dua mata.

Bagaimanapun, Fulham tidak memberikan jalan mudah buat pasukan tuan rumah.

Ryan Sessegnon terlepas dua peluang berharga sebelum Granit Xhaka membuka tirai jaringan buat Arsenal pada minit ke-25.

Alexandre Lacazette menggandakan jaringan dalam babak kedua, namun skuad kendalian Claudio Ranieri itu kembali merapatkan kedudukan menerusi penyudah Aboubakar Kamara pada minit ke-69 yang memaksa Arsenal beraksi goyah sebelum kembali menjaringkan dua gol.

"Kami mahu meraih kemenangan dan kejayaan itu memberikan kami keyakinan," katanya kepada BBC Sport.

"Kami sentiasa memberikan tekanan kepada lawan dan perkara itu menggembirakan saya.

"Ia normal untuk penyokong meragui keupayaan kami ketika keputusan menjadi 2-1.

"Namun, pemain kami meneruskan usaha mereka dan bermain mengikut perancangan.

"Saya berasakan kami layak untuk menang besar.

"Kami menjaringkan gol menerusi pemain yang berbeza dan membina kembali identiti pasukan," katanya.

Aaron Ramsey menyempurnakan jaringan susulan rembatan awal Pierre-Emerick Aubameyang terkena palang untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Aubameyang kemudian menjaringkan golnya yang ke-14 dalam saingan liga musim ini untuk melengkapkan kemenangan 4-1 The Gunners.