Kai Havertz mahu membalas kepercayaan Thomas Tuchel di Chelsea dengan mengambil kesempatan terhadap ketiadaan Romelu Lukaku tatkala pemain antarabangsa Jerman itu tidak sabar-sabar lagi untuk menimba ilmu daripada Raheem Sterling.

Tuchel pernah menggunakan Havertz sebagai peranan nombor sembilan tiruan untuk mengetuai jentera serangan The Blues ketika Lukaku sama ada cedera atau tersisih, tetapi penyerang itu sekadar meledak lapan gol dalam 29 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Dengan Lukaku kembali dpinjamkan ke Inter, Tuchel menolak untuk memancing Cristiano Ronaldo sementara Robert Lewandowski menyertai Barcelona, ​​secara tidak langsung Havertz berkemungkinan akan ditugaskan untuk menggalas peranan itu sekali lagi.

Bekas bintang Bayer Leverkusen itu tidak menjangkakan pertukaran posisi, malah berhasrat menjadikan peranan itu miliknya dengan memberikan Tuchel alasan kukuh untuk mempercayainya.

"Saya telah bermain di banyak posisi selama ini tetapi musim lalu saya banyak ditugaskan sebagai pemain nombor sembilan tiruan dan ia adalah posisi yang sangat saya gemari," katanya kepada pemberita.

"Jika saya mengimbau semula situasi empat tahun lalu, saya tidak pernah membayangkan berkesempatan bermain di peringkat ini. Tetapi dua tahun lalu saya diturunkan lebih kerap dan saya menyukai posisi itu.

“Ia masih bagus kerana saya fleksibel dan boleh beraksi di posisi berbeza di bahagian depan, namun saya berada di kedudukan itu untuk menjaringkan gol dan membuat hantaran. Sebagai pemain nombor sembilan anda perlu melakukannya dan bergabung dengan rakan sepasukan.



"Ketekalan dalam bola sepak adalah perkataan yang sangat besar; kami beraksi setiap tiga hari dan kami perlu sentiasa mengekalkan tahap yang tinggi. Begitu juga buat saya yang ingin tekal dalam setiap perlawanan dan menjaringkan seberapa banyak gol yang saya boleh.

"Kadang-kadang, adalah normal tidak tampil bagus dalam sebuah perlawanan. Tidak mungkin pemain dapat menjaringkan lima gol dalam setiap perlawanan. Ketekalan bagi saya adalah satu perkara yang mustahak dan saya berusaha ke arah itu.

"Saya perlu mendapatkan keyakinan itu daripada jurulatih, saya perlukan kepercayaan jurulatih. Kadang-kadang dalam masa sukar juga. Dia sentiasa memberikan kepercayaan itu kepada saya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Ia sentiasa bagus buat seorang penyerang, begitu juga saya. Saya masih muda. Jika di atas padang, anda sentiasa perlu bertanggungjawab.

"Saya pasti akan cuba beraksi lebih kerap musim ini. Semoga ia akan menjadi lebih baik dari tahun lalu."