ATALANTA 1 JUVENTUS 0

Andrea Pirlo yakin Juventus tiada masalah untuk lolos ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan sambil meratapi ketiadaan Cristiano Ronaldo ketika tumbang kepada Atalanta dalam Serie A, sebentar tadi.


Barisan bimbingannya itu menempa kekalahan 0-1 di Stadium Gewiss apabila bergelut tanpa kelibat penyerang Portugal tersebut.

Juventus seri tiga dan tewas sekali dalam empat perlawanan sepanjang ketiadaan Ronaldo dalam kempen liga musim ini.

Ketumpulan jentera serangan Bianconeri terbukti apabila berhasil melepaskan 11 percubaan dengan sekadar satu daripadanya yang tepat dalam perlawanan itu.

Gol lewat Ruslan Malinovskiy menjamin kemenangan tuan rumah -- kejayaan pertama mereka ke atas Bianconeri dalam Serie A sejak 2001 selain menyaksikan mereka melonjak ke tangga ketiga dalam perebutan Scudetto.



"Jika kami beraksi dengan semangat dan keinginan seperti ini demi membawa pulang keputusannya, saya yakin tidak akan ada masalah untuk mencapai objektif kami," katanya kepada Sky Italia.

"Kami dapat memperagakan rentak kami, kemudian mereka bernasib baik dengan gol lewat itu tetapi kami beraksi dengan tekad dan agresif. Ia mengecewakan, kami sepatutnya membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

"Kami tidak menghadapi kesemua perlawanan membabitkan kami dengan sikap dan tekad yang sama.

"Ini pasukan yang sama sekali berbeza ketika kami memiliki elemen-elemen itu tetapi biarpun sudah diingatkan, kami masih keciciran terlalu banyak mata dengan tidak mempunyai sikap yang tepat dalam perlawanan 'lebih kecil'.

"Kami sedar Atalanta akan mengasak kami di seluruh padang, jadi begitulah cara kami bersiap bagi menghadapinya.

"Kami menguasai bola dengan baik, menutup ruang. Atalanta masih mampu memaksa anda mengambil langkah berbeza dalam beberapa situasi tetapi kami mengekangnya."

Ronaldo telah menjaringkan 25 gol selain merakamkan tiga bantuan jaringan Serie A musim ini.

Bintang Portugis berusia 36 tahun itu terlepas perlawanan berkenaan akibat kecederaan paha tetapi dijangka cergas untuk pertembungan dengan Parma, Khamis ini.

Pirlo mengakui kelibat Ronaldo sememangnya amat ditagih untuk perlawanan sengit menentang pasukan kendalian Gian Piero Gasperini tersebut.

Dia berkata: "Bukan satu kebetulan Ronaldo menjaringkan 25 gol musim ini dan dia juga cemerlang dalam pertemuan pertama berdepan Atalanta.

"Dia sangat sesuai turun dalam perlawanan seperti ini selain merupakan penyudah utama kami. Tatkala kami kehilangan naluri pembunuh di dalam kotak penalti, dia membawa perbezaan.

"Cristiano belum bersedia (diturunkan) tetapi sesiapa sahaja yang di atas padang harus melaksanakan apa yang patut. Saya berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan. .

"Cuma kami tidak memanfaatkan peluang yang dicipta dalam separuh masa pertama. Tetapi kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sengit. Saya tidak perlu menyalahkan pemain saya."