Alvaro Morata kembali dipinjamkan setahun ke Juventus daripada Atletico Madrid, menurut kedua-dua kelab terbabit.

Juara Serie A itu mengesahkan perpindahan berkenaan malam tadi yang menyaksikan penggempur Sepanyol itu kembali mewarnai Serie A buat kali kedua.

Juve akan membayar Atletico sebanyak €10 juta (RM48.3j) dengan kelab Itali itu mempunyai pilihan untuk membeli penyerang berusia 27 tahun tersebut dengan harga €45j (RM217.6j) atau membayar €10j lagi untuk terus meminjamnya bagi kempen selanjutnya.

Sekiranya Bianconeri memilih untuk melanjutkan pinjaman, mereka boleh mengikat Morata dengan harga €35j (RM169.3j) pada akhir musim 2021-22.


Menurut satu kenyataan Juve: "Memori kembali disingkap demi mengenangkan masa-masa lalu tetapi ia juga untuk menyuntik (kekuatan) baru dan kami tidak sabar-sabar untuk sekali lagi melakar lebih banyak kenangan!

"Walaupun Alvaro telah meninggalkan kelab ini empat tahun lalu iaitu selepas memenangi lima trofi dalam dua musim: dua Scudetto, dua Coppa Italia, satu kejayaan Supercoppa Italiana, dia sering menganggap Bianconeri kekal di hatinya dan dengan kepulangannya ini, dia seolah-olah tidak pernah mengucapkan selamat tinggal."

Morata menyumbang 27 gol dalam 93 perlawanan sepanjang dua musim di Turin di antara 2014 dan 2016.

Dia kemudian kembali ke Real Madrid selama setahun sebelum berkelana ke Chelsea dan kemudian Atletico, di mana dia meledak 12 gol LaLiga dalam 34 perlawanan musim lalu.

Berikutan pemergian Gonzalo Higuain ke Inter Miami, Juve telah dikaitkan dengan pemain Barcelona, ​​Luis Suarez, dan pemain Roma, Edin Dzeko bagi mengukuhkan pilihan di jentera serangan.

Langkah Morata itu membuka jalan buat Suarez untuk membarisi Atletico.

Juve memenangi sembilan gelaran Serie A berturut-turut dan membuka kempen mereka di bawah kendalian pengurus baru, Andrea Pirlo, dengan kemenangan 3-0 ke atas Sampdoria, Ahad lalu.