Pemain kreatif Juventus, Angel Di Maria, berdepan kemungkinan sekurang-kurangnya 10 hari dipinggirkan selepas mengalami kecederaan paha dalam kemenangan 3-0 ke atas Sassuolo.

Pemain antarabangsa Argentina itu membuat penampilan sulung bersama kelab gergasi Serie A tersebut apabila membuka jaringan sebelum mencipta umpanan untuk gol kedua Dusan Vlahovic -– selepas penyerang itu menjadikan kedudukan 2-0 menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun, kebimbangan terhadap Di Maria tercetus dalam babak kedua apabila bekas pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu terpaksa dikeluarkan gara-gara kecederaan.

Juventus kemudian mengumumkan situasi Di Maria dan akan menilai semula keadaannya dalam masa 10 hari, ini bermakna dia sah terlepas perlawanan menentang Sampdoria, minggu depan.

Kenyataan kelab itu berbunyi: "Angel Di Maria telah menjalani pemeriksaan radiologi di bahagian otot paha kirinya pagi ini. Tahap kecederaan akan dinilai semula dalam 10 hari."


Pengurus Bianconneri, Massimiliano Allegri, selepas wisel penamat menyatakan bahawa dia tidak bimbang tentang kehilangannya nadi baru pasukannya itu.

Allegri memberitahu DAZN: "Malangnya, perkara-perkara ini boleh berlaku dalam bola sepak.

"Dia juga mempunyai masalah otot ini minggu lalu. Mungkin saya patut merehatkannya ketika kami mendahului 3-0 tetapi dia sedang berseronok di atas padang."