ZENIT 0 JUVENTUS 1

Juventus terlalu bergantung kepada Cristiano Ronaldo selama tiga musim terakhir, demikian kata Leonardo Bonucci selepas mencipta kemenangan ke atas Zenit dalam Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Ronaldo menyertai Juve pada 2018 dan membantu Bianconeri memenangi Serie A dua kali walaupun mereka gagal mempertahankan Scudetto ke-10 berturut-turut musim lalu.

Pemain berusia 36 tahun itu meninggalkan Juve pada Ogos lalu apabila kembali ke Manchester United dalam satu perpindahan mengejut.





Tatkala Ronaldo memimpin jentera serangan kelab Inggeris itu, Juve pula memastikan mata kesembilan dalam Kumpulan H menerusi tandukan Dejan Kulusevski pada minit ke-86 untuk kemenangan tipis 1-0 ke atas Zenit.

Buat julung kalinya mereka memenangi ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan UCL sejak pada 2018-19 yang ketika itu dikemudi Massimiliano Allegri.

Walaupun mereka membuat permulaan yang mengagumkan di Eropah, Juve masih bergelut dalam liga dengan menduduki tempat ketujuh menjelang pertembungan 'derby d'Italia' dengan Inter, awal pagi Isnin depan, tetapi kejayaan ini sudah pasti akan memberi suntikan moral untuk bertemu juara bertahan itu.

Ronaldo menghasilkan 36 gol musim lalu dan hanya empat pemain dalam lima liga utama Eropah yang berjaya melakukan, lantas Bonucci berasakan Juve kehilangan kemahuan untuk "menderita dan berkorban".

"Memang benar, itu semua yang kami katakan," kata Bonucci kepada Sky Sport Italia selepas kemenangan di St Petersburg itu.

"Sejak kebelakangan ini, kami kehilangan identiti sebenar.

"Kami mewakili juara hebat dan pula mahu dia melakukannya dengan baik, jadi kami mungkin kehilangan kemahuan untuk menderita dan bersama-sama mengorbankan diri kerana kami menganggap dia sentiasa mampu menjadi jalan penyelesaiannya.

"Pengurus telah melaksanakan tugas dengan sangat baik untuk mengembalikan semangat dan kerendahan hati kami, ketika ini kami kembali bekerjasama untuk mendapatkan hasilnya."

Walaupun semangat Juve kembali bernyala, mereka bergelut untuk mendapatkan kelebihan dalam sebahagian besar perlawanan awal pagi tadi itu.

Weston McKennie melepaskan dua peluang terhidang ketika dia melihat salah satu percubaannya dari jarak dekat diselamatkan Stanislav Kritsyuk pada minit ke-51.

Kulusevski akhirnya memecahkan kebuntuan perlawanan apabila menanduk masuk hantaran silang Mattia De Sciglio untuk muncul penjaring gol termuda kedua Juve selepas legenda, Alessandro Del Piero.

"Saya tidak akan dapat melupakan detik indah ini sepanjang hidup," kata Kulusevski kepada Juventus TV.

"Ia adalah gol sulung UCL buat saya, ia jaringan pertama saya musim ini malah menerusi tandukan!"