SPEZIA 2 JUVENTUS 3

Massimiliano Allegri berkata Juventus masih mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki selepas meraih kemenangan pertama dalam Serie A musim ini dengan menumbangkan Spezia 3-2 awal pagi tadi.

Skuad Bianconeri itu turun beraksi dengan misi mengelakkan lima perlawanan tanpa kemenangan dalam perlawanan pembukaan liga utama Itali itu -- buat kali pertama sejak edisi 1955-56 -- dan bemula baik di Stadio Alberto Picco apabila Moise Kean meletakkan mereka di depan sebelum setengah jam permainan.

Spezia kemudian memberikan respons menakjubkan untuk berada di depan menerusi gol Emmanuel Gyasi dan Janis Antiste.

Bagaimanapun, Juve, yang hanya meraih dua mata daripada empat perlawanan pembukaan musim ini, berhasil menemui kemenangan pertama dalam kejohanan domestik itu melalui sentuhan pemusnah Federico Chiesa dan Matthijs de Ligt.

Kemenangan itu kelihatan akan mengurangkan tekanan dan kecaman buat pemain Juve tetapi Allegri menegaskan dia tidak akan sama sekali mengambil mudah.



"Mujur kami dapat memenangi perlawanan ini dalam keadaan sukar," katanya kepada DAZN.

"Jika tidak, mungkin kami akan berfikir bahawa kami telah melakukannya dengan baik dan tiada apa lagi untuk dilakukan.

"Terdapat banyak perkara yang perlu diperbaiki. Kami mempunyai pemain yang perlu melakukan lebih baik ketika membuat keputusan dalam melakukan hantaran terakhir dan ketika melakukan percubaan tepat.

"Hari ini, kami memenangi satu perlawanan penting. Kami perlu keluar daripada zon selesa, bola sepak seperti ini membuatkan kami terseksa dan keletihan.

"Kami tidak perlu melihat kepada kedudukan dalam liga. Kami akan mencuba untuk mendapatkan kemenangan pertama di laman sendiri ketika menentang Sampdoria (hujung minggu ini).

"Terdapat pemain yang mempunyai kualiti penting dan perlu meningkat.

"(Weston) McKennie, sebagai contoh, berpeluang menjaringkan sekurang-kurangnya empat gol dan kesemua peluang itu boleh menjadi perbezaan dalam perlawanan ini," katanya.