Jurgen Klopp kecewa dan marah tatkala dia bergelut untuk menjelaskan prestasi buruk Liverpool yang berterusan dengan kekalahan 0-3 kepada Wolves di Molineux, sebentar tadi.

Liverpool ketinggalan 0-2 dalam tempoh 12 minit apabila pertahanan Wolves, Craig Dawson, menggandakan kelebihan tuan rumah selepas gol sendiri daripada Joel Matip sebelum Ruben Neves menamatkan sisa kebangkitan The Reds dalam separuh masa kedua.

Ia merupakan gol kelima dibolosi Liverpool dalam tempoh lima minit pembukaan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan yang terbanyak berbanding pasukan lain.

Dengan jaringan Dawson hadir pada minit ke-11 dan enam saat, Liverpool hanya sekali ketinggalan 0-2 di peringkat awal perlawanan EPL selepas gawang mereka dirobek dua kali dalam tujuh minit pertama ketika menentang West Ham pada 2014.

Bercakap selepas kemarau kemenangan liga anak buahnya mencecah empat perlawanan, Klopp mengecam permulaan buruk mereka sambil memohon maaf atas kelemahan pertahanan mereka.

"Jelas sekali ia adalah permulaan yang mengerikan, dua gol seperti itu tidak sepatutnya dilepaskan," katanya kepada Premier League Productions.



“Tetapi ia terjadi jua maka kami ketinggalan 0-2 akibat kesalahan kami sendiri.

"Kami sepatutnya bertahan dengan lebih baik. Kami pasif dalam tempoh itu. Saya tidak mampu menjelaskannya. Tiada alasan untuk itu.

"Kami ketinggalan 0-2, ramai penyokong yang hadir tetapi ia sebuah perlawanan yang terbuka dan kami mendapat sedikit kawalan.





"Kemudian sepanjang kira-kira 45 minit kami menguasai dengan baik tanpa menjaringkan gol. Begitulah lebih kurang rumusannya.

"15 minit seperti ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Ia perlu diubah. Saya perlu berdiri di sini lagi dan untuk 15 minit pertama itu, saya tiada penjelasan tentangnya, saya minta maaf.

"Akhirnya, kami tewas 0-3 dan jaringan dalam separuh masa kedua itu mungkin adalah yang pertama mereka dapat melepasi separuh padang, tetapi apabila kami memulakan perlawanan seperti ini, kami memang tidak layak meraih apa-apa."