Pemain tengah, Joseph Kalang Tie, tidak berasa tercabar di sebalik kehadiran ramai pemain muda dalam pasukan Selangor, sebaliknya berasa ia satu kebaikan buat Gergasi Merah dalam memilih barisan berkualiti.

Selain Joseph, pendekatan Selangor yang membuka ruang kepada pemain muda jelas sedikit mengehadkan aksi beberapa pemain senior seperti Azamuddin Akil dan Mohd Fairuz Abdul Aziz.

Buat masa ini, posisi Joseph sedang dicabar hebat D. Kugan selain pemain import, Ilham Udin Armaiyn, yang begitu konsisten bersama Selangor.

Dia menerima situasi itu sebagai asam garam yang perlu ditempuhi dan mahu memberikan aksi terbaik dalam setiap sesi latihan bagi memikat hati jurulatih, Muhd Nazliazmi Mohd Nasir.

"Saya tidak rasa tercabar kerana siapa yang bagus layak bermain," kaa Joseph. "Siapa yang membantu pasukan dialah yang layak bermain. Sebab bola sepak adalah permainan berpasukan. Siapa yang bekerja keras dan membantu pasukan, dia layak untuk beraksi."

Menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam Liga Super di Larkin malam ini, Joseph kemungkinan mendapat peluang dalam kesebelasan utama ekoran ketiadaan Ilham dan Evan Dimas Darmono.

Jika diturunkan, Joseph berazam mahu menjadikan inspirasi kejayaan Pahang menewaskan JDT dalam suku akhir kedua Piala FA sebagai motivasi utama bahawa kemenangan bukan sesuatu yang mustahil di Larkin.

"Ia satu tanggungjawab yang berat untuk semua. Tetapi itu bukan alasan untuk kami ketika berdepan JDT sebab semua pemain yang kami ada berkualiti.

"Tidak kira siapa yang akan diturunkan, mereka perlu melakukan dengan baik. Kami perlu ambil motivasi daripada kemenangan Pahang. Kami hanya perlu bekerja keras dan kurangkan kesilapan," katanya lagi.