FIORENTINA 2 ROMA 1

Jose Mourinho kembali menjadi perhatian utama apabila tidak tampil dalam sidang media selepas Roma kecundang di laman Fiorentina.


Kekalahan 1-2 itu pada awal pagi itu menyaksikan impian mereka untuk meraih tiket Liga Juara-Juara (UCL) tidak kesampaian.

Anak buah Mourinho itu turun dengan semangat meluap-luap berbekalkan rentak enam kemenangan dan Stephan El Shaarawy memberikan skuad Giallorossi gol pendahuluan sebelum The Viola bangkit meledak gol berganda pada lewat perlawanan.


Menurut Football Italia, Mourinho -- yang turut dilayangkan kad kuning -- berhasrat menyerahkan tanggungjawab itu kepada pembantunya memandangkan dia ingin memberi fokus sepenuhnya kepada perlawanan akhir Liga Europa menentang Sevilla di Budapest, Khamis depan, dengan juara akan dijamin tempat ke UCL musim depan.

Sementara itu, Inter dan Lazio mengiringi juara 2023, Napoli, untuk bersaing di peringkat tertinggi Eropah berkenaan sementara Milan hanya memerlukan keputusan seri ketika bertemu Juventus, awal pagi esok, bagi mengatasi ancaman Atalanta menjelang hari terakhir minggu depan.