Penyerang import Terengganu II, Jordan Mintah, tidak anggap dirinya diperlakukan seperti 'kain buruk' apabila menegaskan apa jua tugasan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan adalah tanggungjawabnya sebagai pemain bola sepak profesional.

Malah, Mintah tetap bermotivasi tinggi dengan sasaran untuk memenangi gelaran anugerah Kasut Emas musim ini.

Ddalam perkongsian bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL), dia tidak pernah berkecil hati walaupun dikembalikan ke pasukan kelab sokongan sedangkan cemerlang bersama skuad utama.

"Setiap kesempatan kecil yang ada untuk beraksi, saya perlu tingkatkan prestasi dan serius.

"Saya tidak berasa berada dalam situasi buruk walaupun jurulatih sentiasa menukar kedudukan saya.

"Saya tidak mengambil pusing," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.





Mintah meledak empat gol daripada enam perlawanan Liga Super ketika menggantikan David da Silva yang mengalami kecederaan pada awal saingan.

Penyerang dari Ghana itu kemudian meneruskan prestasi tekalnya menerusi 11 gol dalam lima perlawanan Liga Perdana untuk 15 gol keseluruhan, setakat ini.

"Fikiran saya tertumpu ialah menikmati permainan demi mengejar sasaran 30 gol.

"Sebaik liga bersambung, saya mahu mencipta rekod di Malaysia," katanya.