Krisis kecederaan pertahanan Liverpool bertambah parah selepas Joe Gomez dilaporkan mungkin terpaksa berehat panjang.

Gomez dikatakan mengalami kecederaan ketika sesi latihan bersama England menjelang perlawanan persahabatan menentang Republik Ireland, awal pagi esok.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sudah pun kehilangan Virgil van Dijk sepanjang musim ini ekoran kecederaan lutut serius yang dialami pertahanan tengah berkenaan dalam pertemuan 'derby Merseyside' menentang Everton bulan lalu.

Seorang lagi tonggak di bahagian benteng, Trent Alexander-Arnold, pula dijangka akan tersisih sekitar sebulan akibat masalah betis yang dialaminya ketika seri 1-1 dengan Manchester City, hujung minggu lalu.

Perkembangan Gomez itu akan menyebabkan Jurgen Klopp berdepan krisis di bahagian berkenaan dan Fabinho dijangka akan mengisi posisi itu sebaik pemain Brazil tersebut kembali daripada kecederaan hamstring.