ATLETICO 4 DEPORTIVO 1

Joao Felix sedang memenuhi segala tuntutan Atletico Madrid, menurut pengurus kelab ibu kota Sepanyol itu, Diego Simeone.


Pemain antarabangsa Portugal itu meneruskan prestasi cemerlangnya dengan dua gol ketika penyandang juara LaLiga berkenaan merekodkan kemenangan 4-1 ke atas Deportivo Alaves, awal pagi tadi.

Joao Felix terlibat dengan lapan gol dalam enam perlawanan terakhir (enam gol, dua bantuan jaringan), untuk menyamai pencapaian sebanyak 33 perlawanan sebelum ini (empat gol, empat bantuan jaringan).

Justeru, Simeone teruja dengan sumbangan pemain berusia 22 tahun tersebut dan percaya anak buahnya itu sedang meniti di landasan yang tepat selepas karier terumbang-ambing sejak tiba dari Benfica pada 2019.

“Dia makin berkembang, dia dalam prestasi yang hebat,” katanya kepada Movistar+.

"Dia gembira. Dia baik-baik saja dan dia melakukan semua yang kami perlukan daripadanya."





Luis Suarez dimasukkan dari bangku simpanan untuk menjaringkan dua gol pada lewat permainan sementara penyudah pertamanya adalah melalui sepakan penalti.

Simeone menganggap penyerang itu menikmati peranannya sebagai salah seorang tonggak berpengalaman barisan kendaliannya.

"Saya sangat gembira bagi pihaknya," tambahnya.

"Buat masa ini dia bukan pilihan utama. Dia menikmati gilirannya dan langkah berjaga-jaga yang kami ambil.

"Sebelum perlawanan dia berpesan kepada Joao Felix supaya menjaringkan dua gol. Ia bagus. Dia mahu bersaing untuk menang. Untuk menang, semua orang perlu terlibat."