Penggempur Wolves, Raul Jimenez, sudah bersedia untuk kembali menjalani latihan penuh selepas enam bulan berehat akibat retak tempurung kepalanya, tetapi dia perlu memakai pelindung kepala sepanjang kariernya.

Pemain antarabangsa Mexico itu ditimpa kecederaan dalam kemenangan 2-1 Wolves ke atas Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), November lalu, selepas terhantuk dengan David Luiz.

Jimenez dirawat selama 10 minit di atas padang sebelum diusung keluar dan tahap kecederaannya itu diklasifikasikan sebagai "kecederaan otak traumatik utama (TBI) dan keretakkan tengkorak".

Doktor kelab Wolves, Matt Parry, mengesahkan pemain berusia 30 tahun itu sudah mendapat lampu hijau untuk meneruskan latihannya seperti biasa dan berkemungkinan akan cergas dan bersedia bagi musim 2021-22.

Namun, dia memperingatkan pemain itu supaya terus berhati-hati.




"Keretakkan tengkoraknya sudah sembuh dengan baik; dia akan memakai pelindung kepala bagi menutupi kawasan kecederaannya itu sepanjang kariernya tetapi dia dinilai cukup kuat untuk kembali beraksi dengan perlindungan ini," kata Perry di laman sesawang rasmi Wolves.

"Kecederaan kepala seperti gegaran otak boleh memakan masa beberapa minggu dan bulan untuk pulih sepenuhnya dan TBI kadang-kadang akan meninggalkan kesan yang berpanjangan.

"Lega dapat mengumumkan Raul telah melalui satu pemulihan yang luar biasa dan sangat baik setakat ini.

"Dia tidak menunjukan sebarang kesan sampingan dan bolehlah dia kembali ke karier yang dicintainya, apapun dia masih perlu berhati-hati."